'Apa salahnya berdoa? Saya juga akan lakukan perkara sama' - Kamarudin Meranun
Kohilah Sekaran
Jun 27, 2017 12:30 MYT
Jun 27, 2017 12:30 MYT
“Apa salahnya berdoa? Saya juga akan melakukan perkara sama,’ itulah luahan Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.
Ia susulan kritikan Ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim terhadap juruterbang AirAsia X yang meminta penumpang berdoa ketika memutuskan untuk berpatah balik ke Perth.
Semalam, menerusi laman Twitter, Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan juruterbang itu sebagai "tidak bertanggungjawab".
“Juruterbang AirAsia menggesa penumpang untuk berdoa ketika penerbangan Perth mengalami masalah.
“Saya lebih suka kalau juruterbang tidak memberitahu bahawa ajal saya sudah hampir.
"Juruterbang perlu memberi harapan. Jika AirAsia berminat kepada doa, ambil imam dan paderi sebenar,” katanya Zaid.
Bagaimanapun, Kamarudin membantah kenyataan itu.
Menurut Kamarudin, dalam mana-mana agama adalah tidak salah untuk berdoa terutamanya ketika seseorang berada dalam kesusahan dan memerlukan pertolongan tuhan.
“Membuat kenyataan adalah mudah apabila anda berada dalam keadaan selamat di darat.
“Bukan senang untuk mengendalikan keadaan seperti ini tetapi objektifnya adalah jelas, iaitu untuk mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikan semua yang berada di dalamnya selamat.
"Alhamdulillah mereka berjaya melakukannya,” katanya dalam laman Facebook beliau.
Tambah Kamarudin, sebagai individu dan pemegang saham di AirAsia, beliau memihak kepada juruterbang dan pasukannya.
“Dia tenang dan terkawal, dan sebagai seorang beriman dia meminta penumpangnya untuk berdoa bersama ketika beliau menerbangkan pesawat itu dengan selamat. Saya akan melakukan perkara yang sama”
Ahad lalu, pesawat AirAsia X dalam penerbangan dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur hari ini terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Perth selepas berlepas dua jam akibat masalah teknikal.
#air asia
#Airasia X
#Datuk Kamarudin Meranun
#masalah teknikal
#penerbangan
#Perth
#pesawat
#Zaid Ibrahim