Apa sahaja usaha martabat rakyat dan Islam akan diteruskan - Menteri Agama

Madiha Abdullah
Disember 9, 2022 19:16 MYT
Kata Mohd Na'im, ini termasuklah perihal Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355. - Fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Apa sahaja dasar yang diperkenalkan kerajaan terdahulu akan diteruskan jika ia memberi manfaat kepada umat Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini termasuklah perihal Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355.
"Saya lihat ini dalam konteks ia sebahagian daripada usaha martabatkan Islam, tetapi bukanlah satu-satunya. Apabila saya sebut martabatkan, maknanya martabat secara keseluruhan.
"RUU 355 adalah usaha ke arah mempertingkat kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Saya nak tekankan, apa sahaja yang diperkenalkan dasar sebelum ini yang beri manfaat kepada Islam dan kepada rakyat, sama ada Islam atau bukan Islam, kita akan pertahan dan teruskan.
"Ini yang dimaksudkan, kita berusaha menjadi manusia terbaik yang beri manfaat kepada orang lain, jadi apa sahaja dasar yang beri manfaat kepada Islam dan rakyat kita akan teruskan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jualan Rakyat Penjawat Awam, pada Jumaat.
Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu menawarkan potongan harga 50 peratus dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Mohd Na'im juga memberi jaminan bahawa Kabinet akan memperhalusi RUU 355, namun ia akan dibincangkan teliti kerana keputusan perlu dibuat secara bersama.
Beliau turut mengingatkan pemimpin politik agar berpegang pada al-Quran bagi mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh mengakibatkan perpecahan.
"Berpegang teguh pada tali Allah. Allah pesan jangan sekali-kali berpecah-belah. Kita orang Islam yang beriman kepada Allah S.W.T dan al-Quran, itu menjadi pegangan kita.
"Jelas dalam al-Quran menyebut supaya kita jangan berpecah belah hanya disebabkan oleh pandangan politik dan sebagaimana yang boleh menyebabkan kita berpecah belah.
"Jadi, kalau kita benar-benar orang Islam yang beriman sudah tentu kita kena berpegang untuk kita bersatu memastikan supaya Islam ini dimartabatkan," tambahnya.
#RUU 355 #Islam #Mohd Naim Mokhtar #Menteri Agama #PM10
;