Apa perlu dilakukan jika hadapi provokasi di jalan raya - JSPT Bukit Aman

Afiezy Azaman
April 23, 2023 10:35 MYT
Khairul Adzhar menyeru pengguna jalan raya agar mengikut peraturan dan mengelakkan daripada melakukan provokasi yang boleh mengundang kepada pergaduhan atau kes buli. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Apabila melihat seseorang melakukan kesalahan di atas jalan raya, ia mengundang kemarahan kita sebagai pengguna yang lain.
Apatah lagi sekiranya kesalahan jalan raya itu mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, contohnya.
Provokasi dan kemarahan adalah perkara yang seharusnya dielakkan ketika kita menggunakan jalan raya kerana ia mengundang kepada pergaduhan yang boleh memberi implikasi buruk dan rekod jenayah.
Astro AWANI menemu bual Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt Khairul Adzhar Ismail untuk melihat isu 'provokasi, pergaduhan dan buli jalan raya' ketika mana peningkatan trafik sempena musim perayaan Aidilfitri.
Menurut Khairul Adzhar, tiada kawalan emosi, tidak berhemah dan kurang kerjasama, merupakan antara perkara yang mengundang kepada risiko provokasi dan pergaduhan di jalan raya.
"Saya nampak tatacara tentang perlakuan di atas jalan raya, yang mana pengguna jalan raya agak tidak cukup mahir.
"Sebenarnya kita kena merujuk kepada Seksyen 68 Akta Pengangkutan Jalan yang menceritakan tentang kod lebuh raya.
"Kod lebuh raya ini diwujudkan adalah untuk memberi pengetahuan kepada pengguna jalan raya tentang perlakuan seorang pengguna jalan raya di atas jalan.
"Apabila kita bercakap tentang pengguna jalan raya ini, sebenarnya bukan hanya kepada pemandu, kerana ia melibatkan pejalan kaki, penunggang basikal dan pengguna kenderaan bermotor.
"Ada 83 peraturan yang dipecah kepada lima bahagian," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, baru-baru ini.
Khairul Adzhar berkata, asas seseorang apabila menggunakan jalan raya adalah bekerjasama antara satu sama lain selain bijak menguruskan emosi.
Jelasnya, emosi dan tekanan hanya akan membuatkan seseorang itu menggunakan jalan raya tanpa melihat kepada peraturan yang telah ditetapkan.
Sekiranya situasi provokasi atau 'buli jalan raya' berlaku, kata Khairul Adzhar, sebaiknya pengguna jalan raya tidak menegangkan lagi suasana dengan menceritakan atau menegakkan hak masing-masing.
Sebaliknya, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat dan paling utama jangan keluar daripada kenderaan sekiranya terdapat ancaman atau kekerasan kepada diri.
"Pertama, kita kena catat nombor kenderaan tersebut. Kedua, kita lihat siapa pemandu yang melakukan halangan atau provokasi, contohnya seperti jantina, bangsa, warna kulit, bentuk paras rupa.
"Ketiga, catat juga jenis kenderaan, warna kenderaan dan seterusnya lokasi, masa dan tarikh kejadian.
"Perkara ini adalah asas penting untuk pihak kami melakukan siasatan kerana pembuktian akan merujuk kepada perkara-perkara tersebut," jelasnya.
Atas sebab itu juga, Khairul Adzhar memaklumkan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menggalakkan orang ramai memasang kamera perakam video atau dash cam di dalam kenderaan masing-masing.
"Apabila sesuatu itu berlaku dan dirakam melalui video di telefon bimbit atau dash cam, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan, sebab ada seksyen-seksyen yang bersesuaian untuk kita ambil tindakan.
"Contoh seperti Seksyen 48 atau Seksyen 42 iaitu memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan halangan kepada pihak-pihak lain," katanya.
Justeru, Khairul Adzhar menyeru pengguna jalan raya agar mengikut peraturan dan mengelakkan daripada melakukan provokasi yang boleh mengundang kepada pergaduhan atau kes buli.
"Jika kita lihat kepada peraturan jalan raya, peraturan tersebut menceritakan tentang kerjasama, tentang seorang pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus dalam pemanduan.
"Ini yang kita cuba terapkan kepada pengguna jalan raya supaya apa-apa yang berlaku di atas jalan raya boleh diselesaikan dengan baik," katanya.
#Bukit Aman #Aidilfitri #Khairul Adzhar Ismail #provokasi di jalan raya
;