Apa perkembangan Majlis Pemulihan Negara? Saksikan Agenda AWANI malam ini
Astro Awani
Ogos 4, 2021 19:12 MYT
Ogos 4, 2021 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Pemulihan Negara untuk menyelia Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai satu langkah positif apabila dikatakan akan melibatkan semua pihak dan segenap pakar untuk merangka formula terbaik merawat negara yang parah dibadai COVID-19.
Namun progresnya diganggu pula dengan episod baharu kemelut politik negara sejurus tamatnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos tempoh hari.
Begitupun, itu bukan alasan untuk kemaslahatan rakyat diletakkan di tepi buat seketika. Saban hari kes seperti tidak menunjukkan tanda mereda, saban hari nyawa terus melayang, saban hari rakyat semakin ditekan hidup yang terbatas.
MPN ini merupakan buah fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang diajukan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 Jun lalu. Bukan sebagai menentang segala tindakan kerajaan, tetapi hanya untuk memperbaiki apa yang telah ada.
Bekas Perdana Menteri itu juga tempoh hari ada menyenaraikan nama-nama yang dirasakan patut menganggotai majlis ini, tokoh dan pakar dalam bidang-bidang penting iaitu kesihatan, pendidikan, perundangan serta wakil parti politik.
Hari ini fungsi kewujudan MPN mula dipersoalkan sama ada mereka ikhlas, tidak dipengaruhi sebarang unsur politik, bebas dan seimbang. Jika benar, maka rakyat mahu tahu segala perkembangan tindakannya.
Setakat mana progres pelan pemulihan sudah bergerak? Adakah wakil dari Sabah dan Sarawak juga dijemput? Apakah bekas pemimpin berpengalaman akan dijemput? Dapatkah majlis ini menyelaraskan setiap kementerian untuk bergerak bersama?
Adakah juga segalanya adalah dilaksanakan sepertimana yang dibayangkan dan diharapkan oleh Dr Mahathir?
Agenda AWANI malam ini bersama beliau pada jam 8.30 malam, disusuli setengah jam seterusnya bersama Menteri Penyelaras Majlis Pemulihan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada jam 9 malam.
Hanya di saluran 501 dan astroawani.com.
#Agenda Awani
#Majlis Pemulihan Negara
#Pelan Pemulihan Negara
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
#Mahathir Mohamad