Apa perjalanan proses penyerahan mayat mangsa MH17 kepada keluarga?
Astro Awani
Julai 23, 2014 14:33 MYT
Julai 23, 2014 14:33 MYT
Sebahagian mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang kini berada di Kharkiv untuk diterbangkan ke Belanda bagi proses mengenal pasti identiti mangsa menandakan permulaannya fasa yang mungkin agak panjang sebelum kesemua mayat-mayat itu dapat diserahkan kepada ahli keluarga dan waris.
Kesemua mayat tersebut diserahkan kepada Pasukan Penyiasat Forencik Kebangsaan Belanda (LTFO) yang akan mengetuai proses pengecaman.
Apa yang dilakukan di lokasi nahas?
Kesemua mayat dan cebisan yang dikumpul di sepanjang jalan untuk memudahkan proses pemindahan. Jasad-jasad itu kemudian disimpan di dalam gerabak sejuk berhampiran Torez, yang terletak di lokasi nahas.
Gerabak sejuk tersebut kemudian meninggalkan Torez dan tiba di Kharkiv petang ini, di mana kesemua mayat akan dipindah dan diterbangkan ke Eindhoven, Belanda untuk proses pengecaman identiti mangsa.
Apa yang dilakukan di Kharkiv?
Satu laluan udara secara terus akan dibuat dari Kharkiv ke Eindhoven di mana jasad-jasad mangsa akan diterbangkan dalam beberapa fasa melalui beberapa penerbangan.
Sebuah pesawat C-130 Hercules milik Belanda dan Boeing C-17 milik Australia akan digunakan dalam usaha membawa mangsa ke Eindhoven.
Penerbangan pertama yang membawa beberapa mayat dijangka tiba lewat hari ini.
Apa yang akan dilakukan di Eindhoven?
Dari Eindhoven, kesemua mayat-mayat tersebut akan di bawa ke berek Korperal Van Oudheusden di Hilversum di mana proses pengecaman akan dijalankan dengan menggunakan cap jari, rekod pergigian dan DNA.
Proses ini dilakukan mengikut garis panduan yang disediakan Interpol seperti biasa.
Bila boleh dituntut waris?
Sekiranya proses siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah, mayat tersebut akan diserahkan kepada keluarga atau waris untuk dibawa pulang.
Namun, kesemua prosedur ini boleh memakan masa selama berminggu-minggu hingga berbulan-bulan.