Apa peluang pekerjaan rakyat Malaysia pasca COVID-19?
Profesor Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed
April 27, 2020 17:14 MYT
April 27, 2020 17:14 MYT
DALAM penulisan ini, saya merasa terpanggil dan melihatnya sebagai satu tanggungjawab untuk menyampaikan beberapa perkara yang saya amati dan ianya amat penting untuk dikongsi kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kegusaran rakyat terhadap peluang pekerjaan rakyat Malaysia dan masa depan ekonomi negara pasca COVID-19.
Persoalan pertama yang bermain di fikiran rakyat Malaysia dan dilihat begitu signifikan adalah bagaimana peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia pasca COVID-19? Bagi menjawab soalan ini maka beberapa pertimbangan perlu diambil kira berdasarkan keadaaan semasa dan sebelum ini.
Berdasarkan Data Tenaga Buruh di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sehingga Mei 2019 menunjukkan bahawa seramai 15.12 juta rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai bekerja iaitu peningkatan 1.8% jika dibandingkan dengan tahun 2018.
Sekiranya kita mengambil peratusan peningkatan yang hampir sama dan lebih sedikit untuk tahun 2020 (sehingga Mac 2020) maka bilangan rakyat Malaysia yang bekerja adalah berkemungkinan dalam lingkungan sekitar 15.3 ke 15.5 juta.
Manakala berdasarkan data bilangan pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia juga menunjukkan peningkatan iaitu daripada 1.57 juta pekerja asing pada tahun 2011 meningkat kepada melebihi 2 juta pada tahun 2019 (sehingga Jun 2019).
Bagaimana pula dengan pekerja asing yang bekerja secara tidak sah? Tentu sekali angkanya jauh dan berkali ganda lebih tinggi jika dibandingkan dengan angka pekerja asing yang bekerja secara sah.
Tentu sekali pada ketika ini bilangan pekerja asing yang sah dan tidak sah di Malaysia telah mengatasi bilangan masyarakat India di Malaysia yang merupakan kumpulan etnik ketiga terbesar di Malaysia dan sedang mengejar rapat bilangan masyarakat Cina di Malaysia.
Tentu sekali rakyat bertanya bagaimana perkara ini boleh dibenarkan berlaku di Malaysia dengan bilangan pekerja asing yang luar biasa bilangannya di Malaysia dan menguasai pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) antaranya di sektor pembinaan dan peladangan sehingga meneruskan penguasaan mereka dalam pekerjaan yang ringan antaranya seperti Juru Wang di Stesyen Minyak, Kedai Runcit dan Serbaneka serta Pengawal Keselamatan di Pasar Raya dan agensi yang terlibat.
Bukan itu sahaja, bahkan warga asing juga telah berniaga secara terbuka dan ianya telah menjejaskan pendapatan perniagaan rakyat Malaysia.
Namun perkara yang telah berlaku sebelum ini tidak dapat dielakkan namun kita perlu mempelajari pengalaman sebelum ini dan belajar daripada kesilapan yang lalu serta memperbetulkan kesilapan tersebut dengan langkah ke hadapan yang tepat untuk masa depan rakyat Malaysia.
Rentetan daripada itu, apabila berlakunya pandemik COVID-19, sebagaimana yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin berkenaan keperluan untuk mempertingkatkan kawalan di sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus dan ianya disambut pula dengan saranan oleh Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah agar kawalan keselamatan sempadan diperketatkan dan menjadi salah satu kriteria yang perlu dipatuhi sebelum kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ianya wajib diteruskan pada masa akan datang untuk menjaga kedaulatan negara daripada dimasuki oleh warga asing secara tidak sah.
Namun selepas berlakunya pandemik COVID-19, maka statistik dan perangkaan warga Malaysia yang berkerja sebagaimana huraian di atas telah berkurangan secara signifikan dengan ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan dan punca pencarian disebabkan oleh syarikat telah mula mengurangkan atau menutup operasi perniagaan.
Unjuran yang diperolehi daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada ketika ini juga menunjukkan 2.4 juta rakyat Malaysia berkemungkinan kehilangan pekerjaan pasca COVID-19 disebabkan oleh penutupan atau pengurangan pengoperasian industri termasuk sebahagiannya daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta pengucupan ekonomi Malaysia dan dunia.
Keadaan akan menjadi lebih parah jika ditambah graduan yang akan bergraduat tahun ini seramai ratusan ribu yang melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta lulusan SPM dan STPM yang ingin terus berkerja. Sekiranya ditambah semua kategori ini maka berkemungkinan bilangannya boleh mencecah antara 3 ke 4 juta rakyat Malaysia yang perlu mencari pekerjaan pasca COVID-19.
YAB Perdana Menteri pada 6 April 2020 telah mengumumkan pakej tambahan bernilai RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan PKS termasuk Program Subsidi Upah, Geran Khas Prihatin, pembiayaan mikro tanpa faedah dan inisiatif lain yang memberikan impak yang positif untuk merancakkan perniagaan terutamanya pasca COVID-19.
Ia juga antara lain mampu untuk menjamin 2/3 daripada pekerja negara ini terus mendapat pekerjaan dan majikan juga wajib mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya selama 6 bulan melalui Program Subsidi Upah.
Kerajaan juga bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibuka secara berperingkat. Namun persoalan yang timbul, siapa yang akan mengisi kekosongan pekerjaan pasca COVID-19 yang tentunya telah berkurangan kesan daripada COVID-19?
Sekiranya kita amati apa yang berlaku semasa PKP ini, dalam keadaan begitu ramai rakyat Malaysia yang tidak boleh berkerja dan tinggal di rumah serta ada yang tidak memperolehi pendapatan khususnya di sektor swasta, masih ramai pekerja asing yang masih berkerja di sektor kritikal termasuk di Kedai Runcit dan Serbaneka serta Stesyen Minyak di Malaysia khususnya di Semenanjung Malaysia dan masih memperolehi pendapatan seperti biasa.
Pada hemat saya, Kerajaan PN perlu bertindak drastik dan segera dalam menyelesaikan isu peluang pekerjaan pasca COVID-19. Usaha kerajaan untuk membantu PKS tidak akan membuahkan hasil sekiranya pekerjaannya masih diisi oleh pekerja asing.
Sudah sampai masanya Kerajaan bertindak tegas untuk mengurangkan bilangan pekerja asing secara berperingkat untuk diisi oleh ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan terutamanya pekerjaan yang ringan. Jumlah pekerja asing di Malaysia adalah terlalu ramai jika dicampur pekerja asing yang sah dan tidak sah.
Pada ketika ini, keutamaan Kerajaan PN hanya perlu memberikan fokus dan penumpuan kepada rakyat Malaysia sahaja yang ramai telah kehilangan pekerjaan. Zaman untuk bergantung pada pekerja asing terutamanya dalam pekerjaan yang ringan telah berakhir dan peluang perlu diberikan kepada rakyat Malaysia untuk mengisi pekerjaan ini.
Masing-masing negara luar pada ketika ini hanya melindungi pekerjaan rakyat mereka sahaja sebagai contoh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan perhatian dan perlindungan pekerjaan kepada 22 juta rakyatnya sahaja yang kehilangan pekerjaaan dan menyekat kehadiran pendatang asing.
Inilah masa yang terbaik bagi Kerajaan PN untuk memberikan fokus untuk menjaga, melindungi dan mengisi pekerjaan daripada kalangan rakyat Malaysia sahaja terutamanya dalam perkerjaan yang ringan untuk pasca COVID-19 dan tiada pilihan kecuali menghantar pulang secara berperingkat pekerja asing. Kerajaan juga perlu memperketatkan kawalan sempadan negara sepanjang masa daripada dilolosi dengan mudah sebelum ini oleh pendatang asing.
Sekiranya perkara ini tidak dilakukan maka Malaysia berkemungkinan bakal berhadapan dengan Bom Jangka iaitu krisis sosial dan konflik yang serius dan runcing dalam keadaan pekerja asing di Malaysia masih bekerja dan memperolehi pendapatan manakala pekerja tempatan tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan untuk menyara hidup sendiri dan keluarga serta mengharapkan bantuan kerajaan.
Rakyat Malaysia juga perlu menerima dan mengisi pekerjaan yang dikosongkan oleh pekerja asing dan sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan dalam jangka masa pendek untuk menyara hidup seterusnya dapat menjana ekonomi keluarga, masyarakat dan negara pasca COVID-19.
Hanya dengan cara rakyat Malaysia memperolehi pekerjaan dan mempunyai pendapatan sahaja yang akan dapat membantu untuk mengangkat semula ekonomi negara pasca COVID-19.
Peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan ekonomi negara berpisah tiada.
* Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed merupakan seorang pensyarah dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Universiti Putra Malaysia.
#COVID-19
#kerajaan
#keselamatan
#kesihatan
#Kolumnis AWANI
#Muhyiddin Yassin
#peluang pekerjaan
#Perdana Menteri
#rakyat Malaysia
#subsidi
#warga asing