Apa nasib sistem pendidikan Malaysia? Ini 4 desakan Pakatan Harapan
Astro Awani
Mei 30, 2021 11:48 MYT
Mei 30, 2021 11:48 MYT
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan mendesak empat perkara penting dalam memastikan kelangsungan sistem pendidikan tatkala COVID-19 masih meruncing di negara ini.
Menerusi satu kenyataan bersama yang dipengerusikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik berkata kegagalan menetapkan hala tuju yang jelas akan menyebabkan kesan buruk kepada lebih 5 juta pelajar.
Empat desakan tersebut ialah:
1) Menyatakan pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan (lockdown) secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid dapat membuat persiapan awal semenjak dalam cuti persekolahan lagi.
2) Menyegerakan vaksin kepada semua para guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko seperti yang telah digesa berkali-kali oleh Jawatankuasa ini.
3) Memberikan insentif ‘one-off’ kepada para guru yang telah dan akan menggunakan wang mereka sendiri sepanjang PKP untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.
4) Menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang telah dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40.
Mereka pada masa sama turut mengemukakan beberapa persoalan lantaran tidak mahu keputusan saat akhir dibuat seperti kelazimannya.
"Apakah perancangan Kementerian Pendidikan selepas tamatnya sekatan pergerakan tersebut? Bilakah Kementerian Pendidikan akan mengumumkan rancangan seterusnya bagi sesi persekolahan yang akan datang?
"Adakah murid-murid akan kembali ke sekolah ataupun akan mengikuti kaedah PdPR? Atau apakah pelannya jika sekatan perjalanan dilanjutkan atau ditamatkan?" soal mereka.
Mengikut laporan Kementerian Kesihatan, setakat 18 Mei 2021, seramai 64,046 kanak-kanak telah dijangkiti COVID-19.
Daripada jumlah ini, 23,739 orang merupakan murid-murid di bawah usia 12 tahun.
#Pakatan Harapan
#Maszlee Malik
#Kementerian Pendidikan
#pendidikan
#COVID-19
#PKP
#Kementerian Kesihatan
#Kanak-kanak
#guru
#pelajar
#sekolah
#vaksin