Apa nasib doktor muda?
Madiha Abdullah
November 13, 2019 19:21 MYT
November 13, 2019 19:21 MYT
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama beberapa lagi persatuan perubatan pada Rabu mengeluarkan kenyataan bersama meminta agar nasib doktor pelatih diberi pembelaan sewajarnya.
Kenyataan itu dibuat bersama Section Concerning House Officers, Medical Officers and Specialist (SCHOMOS), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Section Concerning Dental Officers and Specialists (SCODOS), memohon agar pihak berwajib dapat mencadangkan satu pelan kerjaya yang lebih sistematik untuk membantu golongan ini.
Ini adalah susulan kenyataan Kementerian Kesihatan sebelum ini yang mengesahkan hampir separuh daripada dua kumpulan pertama doktor pelatih kontrak, dilantik sebagai pegawai perubatan secara kontrak.
"Orang yang paling tahu mengenai keperluan negara ialah mereka yang dalam Kementerian Kesihatan. Tetapi kita juga perlu ingat kiraan yang diberi kementerian adalah untuk memenuhi keperluan mereka.
"Kita masih ada tempat-tempat lain yang menawarkan perkhidmatan perubatan, seperti hospital universiti, tentera malah majlis perbandaran juga memiliki klinik kesihatan.
"Universiti tempat saya bekerja saya contohnya, masih kekurangan, tetapi perjawatan sudah penuh," tambahnya.
Tambah Kevin, golongan doktor muda ini perlu diberi peluang ke lantikan tetap yang membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat tertinggi, sekaligus mengisi jawatan sebagai doktor pakar di masa hadapan.
Kevin yang merupakan pakar anestesiologi di Pusat Pakar Universiti Malaya turut menggesa agar kawalan di peringkat institusi pengajian tinggi dimulakan untuk memastikan jumlah pegawai perubatan yang dihasilkan mengikut keperluan.
"Semua pihak datang dan duduk berbincang, dan setuju tentang kuota pelajar perubatan yang mahu dihasilkan. Terdapat 300 program perubatan yang kita iktiraf.
"Sesuatu perlu dilakukan untuk menyelaras and melihat kembali supaya kita akan menghasilkan yang terbaik. Kita sendiri perlu lebih selektif," katanya lagi.
Buat masa ini, dianggarkan kira-kira 5,000 doktor dihasilkan setiap tahun, namun kadar serapan ke lantikan tetap dilaporkan hanya kira-kira 50 peratus.
Laporan media sebelum ini menyebut seramai 6,307 pelajar perubatan ditawarkan sebagai doktor pelatih kontrak dari Januari hingga November tahun ini, manakala 1,152 pelajar masih menunggu penempatan untuk latihan.
#doktor pelatih
#Hospital
#Malaysian Medical Association
#pelajar
#Persatuan Perubatan Malaysia
#perubatan