Apa nama sesuai buat anak panda kedua Malaysia?

Sinar Harian
Mei 26, 2018 20:54 MYT
Bai Tian (dua, kanan) hadir untuk melihat sendiri anak beruang panda baharu milik beruang panda Liang Liang dan Xing Xing sewaktu sesi pengenalan kepada para pengamal media di Zoo Negara hari ini. -Foto Bernama
Nama anak panda betina kedua pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang akan ditentukan berdasarkan cadangan pengguna media sosial, kata Duta China ke Malaysia Bai Tian.
Katanya, pihaknya akan berbincang dengan kementerian berkaitan untuk bekerjasama dalam membuka penyertaan cadangan nama anak panda itu kepada orang ramai dalam masa terdekat.
“Kami akan mengumumkan penyertaan pengguna media sosial untuk mencadangkan nama anak panda itu apabila tiba masa yang sesuai,” katanya selepas Majlis Penampilan Anak Panda di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara, hari ini.
Katanya, kelahiran anak panda kedua pada 14 Jan lalu menjadi lambang persahabatan antara China dan Malaysia selepas anak panda pertama Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 14 Nov tahun lalu sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara.
Sementara itu, Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara Dr Mat Naim Ramli berkata anak panda betina itu mula dipertontonkan kepada pengunjung hari ini dengan waktu melihat anak panda tersebut terbahagi kepada dua sesi iaitu pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari dan pukul 2 hingga 3.30 petang setiap hari.

Dr Mat Naim berkata, anak panda itu dalam keadaan sihat dan beratnya kini mencecah sembilan kilogram pada usia empat bulan.

“Anak panda betina itu kini menampakkan perkembangan tumbesaran yang sangat cepat berbanding Nuan Nuan dan kami menjangkakan akan meletakkannya bersama-sama dengan ibunya di tempat pameran apabila usia mencecah enam bulan,” katanya.

Katanya kelahiran anak panda betina itu adalah merupakan di luar musim mengawan pasangan panda yang kebiasaannya berlaku antara April hingga Jun setiap tahun.

“Faktor cuaca di Malaysia serta perkembangan kesihatan pasangan panda yang baik menyumbang kepada kesuburan ketika proses mengawan dan berjaya melahirkan anak panda kedua pada Januari lalu,” katanya.

Liang Liang sebelum ini dilaporkan bunting selama 89 hari sebelum melahirkan anaknya secara semula jadi pada kira-kira 7.50 pagi 14 Jan lalu dengan berat 150 gram.

Pada 21 Mei 2014, Malaysia menerima pasangan Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

#Duta China #Liang Liang #Majlis Penampilan Anak Panda #Malaysia Bai Tian #Panda #Pusat Konservasi Panda Gergasi #Xing Xing
;