Apa mekanisma pembayaran harga tanah Kampung Baru? - Johari

Astro Awani
Januari 15, 2015 19:30 MYT
JOHARI: Apa mekanisma pembayaran harga tanah Kampung Baru? - Gambar fail
Kerajaan perlu menjawab persoalan penduduk Kampung Baru mengenai mekanisma pembayaran harga kepada pemilik tanah terbabit.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, rata-rata penduduk juga dilihat tidak menolak pembangunan namun melihat ia perlu diperjelaskan lagi.
"Saya baru menghadiri majlis pelancaran Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru. Ia merupakan satu plan pembangunan yang komprehensif.
"Daripada maklum balas yang saya terima rata rata penduduk dan tuan tuan tanah tidak menolak pembangunan tetapi mereka masih ternanti nanti jawapan dari Perbadanan Kampung Bharu (PKB) mengenai 3 isu penting," katanya dalam catatan terbaharu laman Facebooknya di sini hari ini.
Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa pembangunan semula Kampung Baru tidak akan meminggir atau mengabaikan hak milik serta pewaris asal kampung berkenaan.
Kata Muhyiddin, ini kerana penggubalan Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) sebelum ini melibatkan proses yang ketat serta melalui beberapa siri perbincangan bersama pemilik dan pewaris tanah.
Dalam pada itu kata Johari, selain persoalan mekanisma pembayaran melalui pegangan saham, tunai, aset yang telah siap dibina atau pun gabungan ketiga tiga elemen tersebut, penduduk juga mahu tahu nilai untuk satu kaki persegi tanah mereka.
"Selain itu penduduk mahu kerajaan menjawab bilakah pembangunan ini hendak dimulakan dan siapa pemajunya," jelasnya.
Ujar Johari lagi, pemilik tanah juga akan lebih yakin dengan pembangunan kawasan mereka seandainya kerajaan menjawab semua soalan itu dengan jelas.
Sebelum ini, Pemula Runding Pemilik Tanah Kampung Baru, Shahariah Sabarudin meminta kerajaan menetapkan nilai bagi satu kaki persegi tanah di Kampung Baru sebelum deraf Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB 2020) dibentang.
Kata Shahariah, ia sekali gus menjawab persoalan pemilik tanah yang didakwa ditawar harga jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran di penempatan orang Melayu itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi sebelum ini turut meminta kerajaan meneliti semula kehendak penduduk Kampung Baru secara keseluruhannya sebelum menyambung pembangunan kawasan berkenaan.
Jelas Shamsuri, ia seharusnya tidak mengetepikan sama sekali hak serta kepentingan pemilik dan pewaris tanah berhubung pembangunan semula penempatan di sana.
#baru #Facebook #JOHARI #kampung #Muhyiddin #pelan #PKB
;