Apa lagi yang Azmin mahu?
Nabihah Hamid
Mei 11, 2013 08:21 MYT
Mei 11, 2013 08:21 MYT
Pergolakan dalaman Parti Keadilan Rakyat khususnya di Selangor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 menimbulkan banyak tanda tanya tentang niat sebenar Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali. Apa sebenarnya yang dia mahu?
Pelbagai persepsi timbul selepas orang nombor dua parti itu menimbulkan sedikit kekecohan di kalangan ahli parti dan pemerhati politik melalui kenyataannya di Twitter.
Dia juga tidak ikut himpunan membantah keputusan PRU-13 di Kelana Jaya pada Rabu malam lalu. Dia sebaliknya mengeluarkan kenyataan mahu menyelamatkan PKR.
Adakah tindakan beliau itu mencerminkan keinginannya untuk jadi Menteri Besar Selangor ataupun hanya sekadar melepaskan rasa tidak berpuas hati dengan cara PKR mengendalikan proses menamakan calon Menteri Besar kerana membelakangi pandangan kepimpinan PKR Selangor sendiri?
Wartawan yang membuat liputan sidang media Azmin pada Jumaat terpaksa menunggu hampir satu jam untuk sidang media itu dimulakan, dan selepas sidang media selesai, masih ada banyak soalan yang tinggal tidak berjawab.
Apa yang Azmin mahu timbulkan? Apakah benar ada krisis dalaman parti atau dia sengaja mahu mempermain-mainkan lawan politik, atau apa?
Bertubi-tubi soalan yang dilemparkan oleh wartawan tetapi Azmin dilihat berdolak-dalik dalam memberikan jawapan. Antara soalan yang diajukan ialah: ''Adakah saudara berhasrat untuk merebut jawatan MB Selangor?''
Ada juga wartawan yang bertanya, apakah niat sebenar sidang media tersebut dan siapa yang beliau rasakan sesuai untuk jadi Menteri Besar Selangor. Dia tidak menjawab soalan tetapi ada memberikan bayangan.
Azmin memberitahu bahawa perjumpaan tergempar pimpinan PKR Selangor pada Khamis dihadiri oleh mereka yang tidak bersetuju dengan nama yang diangkat oleh Presiden parti, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismai tanpa persetujuan sebulat suara pimpinan negeri.
Malah pimpinan Negeri Selangor juga katanya telah menghantar surat memberikan nama calon yang dirasakan 'layak' jadi Menteri Besar.
Tetapi apabila ditanya wartawan, adakah namanya termasuk dalam senarai, siapa calon yang tersenarai, Azmin hanya senyum tidak menjawab soalan.
Maka, apa sebenarnya yang Azmin mahu sampaikan?
Dalam sidang media yang berjalan hampir 40 minit itu, Azmin banyak mengeluarkan kenyataan menyerang kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang disifatkan gagal sebagai Menteri Besar.
Azmin memetik isu pengurusan sampah, isu bekalan air bersih dan jalan berlubang malah aduan yang diterima daripada penjawat awam mengenai kepimpinan Khalid.
Meskipun Azmin menyerang, sampai sudah dia tidak mengaku 'kemaruk' hendak jadi Menteri Besar. Jadi, siapa patut jadi Menteri Besar Selangor kalau bukan Khalid?
Apa yang lebih mengejutkan juga ialah Ahli Parlimen Gombak itu kerap menyebut tentang amalan nepostisme dan kronisme yang dilihat satu sindiran kepada pimpinan teratas partinya.
"Ini bukan parti individu atau keluarga tertentu, Keadilan adalah milik rakyat. Apabila parti ini menyimpang daripada prinsip maka ia akan ditinggalkan oleh rakyat," katanya.
Kepada siapa lagi ayat ini ditujukan kalau bukan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah yang jadi Presiden parti dan anak mereka, Nurul Izzah Anwar yang merupakan Naib Presiden?
Apakah Azmin yang selama ini diakui sebagai orang kuat Anwar dan pejuang yang setia kepada reformasi sudah terkeluar daripada kelompok Anwar?
Jadi, apa sebenarnya yang Azmin mahu?