"Apa keistimewaan ahli politik? Selamatkan Orang Asli terlebih dahulu!" - Ramesh

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2021 10:44 MYT
Komuniti Orang Asli seharusnya dilindungi segera daripada risiko jangkitan COVID-19 sepertimana suntikan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan Ahli Parlimen, kata Ramesh Arumugam Chettiar. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengasas Koperasi Pembangunan Orang Asli, Ramesh Arumugam Chettiar mendesak kerajaan mengutamakan keselamatan Orang Asli dengan memberikan suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama.
Aktivis itu berkata, komuniti berkenaan seharusnya dilindungi segera daripada risiko jangkitan COVID-19 sepertimana suntikan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan Ahli Parlimen.
Dakwa beliau, kerajaan seolah-olah terus melupakan Orang Asli yang disifatkan sebagai kumpulan paling rentan dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Mengapa kita terus menghukum Orang Asli berulang kali? Mereka mempunyai hak sebagai rakyat Malaysia untuk hidup dan terus hidup.
“Vaksinasi penduduk Orang Asli kita dengan segera sepertimana keperluan untuk kita melindungi petugas barisan hadapan atau ahli politik.
“Bagaimana kita membezakan siapa dalam kalangan ahli politik ini yang layak mendapat vaksin terlebih dahulu? Terdapat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sehingga hari ini tidak mengunjungi kawasan mereka atau bertanggungjawab terhadap mandat yang diberikan? Beberapa Yang Berhormat 'hilang' sejak pilihan raya umum 2018,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan hari ini.
Ramesh dalam masa sama mempersoalkan apa keistimewaan yang dimiliki oleh ahli politik sehinggakan perlu dilindungi sedangkan segelintir daripada mereka tidak menunaikan janji kepada rakyat.
“Saya yakin bahawa kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dan hanya memilih ahli politik yang telah berkhidmat dengan baik sahaja. Abaikan seketika ahli politik (daripada menerima vaksin) yang telah menjadi ‘virus’.
“Selamatkan Orang Asli kita terlebih dahulu. Mereka berhak hidup dan kekal hidup sama seperti ahli politik,” tegasnya lagi.
BACA: COVID-19: Semua wakil rakyat akan terima suntikan vaksin - PM
Jelas beliau lagi, hampir mustahil untuk sebahagian Orang Asli bertahan hidup sekiranya mereka dijangkiti COVID-19 dan tidak dirawat di hospital, sebaliknya, hanya menjalani kuarantin di kampung masing-masing.
Walaupun kerajaan memberikan bantuan seperti bakul makanan, Ramesh berkata, komuniti itu tetap perlu keluar mencari sumber makanan untuk menyara keluarga.
Justeru, tindakan itu akan memberi risiko berlaku penyebaran jangkitan COVID-19 dalam komuniti itu, ujarnya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan semua Ahli Parlimen dan ADUN akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 pada fasa pertama memandangkan tugas mereka yang perlu bertemu dengan masyarakat.
#ADUN #COVID-19 #Malaysia #Orang Asli #suntikan vaksin #Aktivis Orang Asli #Selamatkan Orang Asli #Program Imunisasi COVID-19