Apa jadi kalau kes Tanduo berulang? Warisan desak sidang DUN khas bincang isu keselamatan Sabah
Alexion Mairin
Julai 21, 2022 16:20 MYT
Julai 21, 2022 16:20 MYT
KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mendesak kerajaan negeri Sabah mengadakan satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan sesi itu penting bagi membahaskan semua aspek keselamatan terutamanya membabitkan negeri itu.
Jelasnya surat permohonan berkaitan sidang khas itu juga akan dihantar dalam masa terdekat.
"Saya sudah nampak tadi dan Speaker DUN baru hantar surat dengan saya hari ini, ditolaknya dan saya akan hantar surat permohonan untuk sidang khas
"Apa jadi kalau ada kejadian pembolosan lagi seperti di Tanduo? baru kita mahu hantar pesawat pejuang dari semenanjung? baru kita hantar helikopter dari Labuan?
"Jauh jaraknya, tidak ada pun helikopter di Semporna tidak ada helikopter di Kunak tidak ada di Lahad Datu, Tawau pun tidak ada.
"Macam mana kita mahu jaga keselamatan manusia, masalah ayam pun tidak boleh diselesaikan ini lagi masalah keselamatan.
"Mereka perlu serius melihat isu ini," katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Parti Warisan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie sekali lagi menyatakan kekesalannya apabila usul membincangkan dan membahaskan mengenai ancaman keselamatan waris Kesultanan Sulu pada sesi sidang DUN Sabah ditolak untuk kali kedua oleh Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Alasan usul itu ditolak berdasarkan peraturan tetap 23A (2) iaitu mana-mana usul yang ditolak di bawah perenggan satu tidak boleh dikemukakan dan tidak boleh dibacakan dalam majlis mesyuarat.
Tegasnya penolakan tersebut hanyalah alasan untuk tidak membincangkan isu tersebut.
"Ini satu alasan, walaupun saya sedar dan tahu itu hak mereka, bidang kuasa mereka kalau di DUN itu mereka berhak untuk menolak atau menerima.
"Alasannya kita tidak mahu apa yang kita halusi dan bincang akan diketahui oleh pihak yang membawa kes itu ke mahkamah, kenapa kita takut pasal undang-undang yang ada? undang-undang antarabangsa ada, Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia.
"Undang-undang ini diluluskan di United Kingdom dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan telahpun diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, referandum sudah dibuat bahawa kedaulatan Sultan Sulu tiada di Filipina, jadi undang-undang apa yang kita bimbang sangat nak didedahkan?
"Mereka di filipina bimbang di dewan kongres mereka, bincang dalam forum dan mereka tidak bimbang tentang tuntutan.
"Yang kita bimbang ini nyawa manusia, jadi alasan kita tidak iktiraf itu bukan alasan yang munasabah da kita selaku wakil rakyat mungkin kita menggunakan landasan dewan rakyat, dewan undangan negeri dan kalau mereka tidak mahu kita bersuara di dalam dewan jangan kawal kami di luar dewan pula, ini hak rakyat." tegasnya.
Dalam itu, pada sidang Dewan Rakyat Rabu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menjelaskan bahawa isu tuntutan waris kesultanan Sulu tidak dibahaskan adalah bagi mengelak segala strategi dan perancangan kerajaan dalam mendepani kes yang masih berjalan di mahkamah itu diketahui pihak lawan.