Apa guna status KL bandar moden terancang, jika isu banjir masih tidak selesai
Fauzi Suhaimi
Februari 2, 2021 20:20 MYT
Februari 2, 2021 20:20 MYT
KUALA LUMPUR: Jika hujan lebat berlaku lebih dari dua jam di ibu negara, ia pasti akan menimbulkan kegusaran warga kota.
Ini kerana, ramai bimbangkan mengenai banjir kilat yang akan berlaku sekali gus akan memberi risiko kepada keselamatan dan kerosakan harta benda seperti kereta dan motosikal.
Masalah ini bukan baharu, malah berlaku hampir setiap tahun lebih-lebih lagi pada musim Monsun Timur Laut.
Tinjauan Astro AWANI di beberapa lokasi mendapati pelbagai faktor menjadi penyumbang kepada fenomena tersebut, yang kadang-kadang menyaksikan air naik hampir dua meter, khususnya di kawasan berisiko seperti di Lebuh Ampang; Jalan Raja Alang; Kampung Baru dan Jalan Gurney Kiri melalui Jalan Semarak.
Banjir Kilat | Apa guna status KL bandar moden terancang?
Rata-rata kawasan yang terjejas adalah di pusat peniagaan utama (CDB).
Hasil pemerhatian Astro AWANI di lokasi tersebut juga mendapati masalah sama yang menjadi antara punca banjir iaitu longkang tersumbat yang dipenuh sampah sarap dan kabel utiliti haram.
Meskipun perkara itu telah pun dilaporkan media sebelum ini, namun tiada tindakan susulan dibuat pihak berkuasa sejak bertahun lalu.
Penemuan projek pemasangan kabel yang bersaiz diameter kira-kira lima inci dalam longkang ketika tinjauan Astro AWANI amat mengejutkan.
Mana tidaknya, kabel itu bukan sahaja akan mengakibatkan saluran longkang tidak mampu berfungsi dengan baik, malah telah menyebabkan kerosakan pada struktur longkang.
Yang pasti, kehadiran kabel utiliti haram itu menyebabkan gangguan saliran sehingga 40 peratus berbanding kapasiti yang sepatutnya.
Itu belum dihitung jumlah sampah yang tersangkut pada kabel berkenaan dan akhirnya longkang itu gagal berfungsi dengan baik sehingga berlakunya banjir.
Hasil tinjauan itu juga mendapati, rata-rata warga kota berasakan isu sistem saliran dan pembangunan pesat antara punca masalah banjir itu berulang.
Bagi seorang penduduk, Izzwan Saad, 35, mendakwa isu perparitan dan sikap masyarakat yang masih membuang sampah menjadi penyumbang terbesar kepada kajadian banjir.
"Isu perparita, sistem pembangunan dan sikap masyarakat yang suka membuang sampah menyebabkan bandar raya ini sering dilanda banjir kilat.
"Kalau sistem peparitan kita berada pada keadaan baik, sudah pasti isu ini dapat diselesaikan," katanya.
Sementara itu, sorang lagi penduduk, Zulkefli Ahmad Abdullah, 45, meminta agar pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan segera khususnya dalam isu membaik pulih struktur longkang yang telah rosak.
"Jika masalah ini tidak dapat diselesaikan, sampai bila-bila Kuala Lumpur akan berlaku banjir kilat jika hujan lebat berlaku," katanya.
Persoalannya, siapa yang meluluskan projek pemasangan kabel itu?
Adakah pihak berkuasa tempatan tidak peka dengan perkara itu atau sebaliknya.
#Kuala Lumpur
#banjir
#kereta
#keselamatan
#banjir kilat
#hujan
#parti rosak
#longkang tersumbat
#kabel utiliti dalam longkang