Apa guna gabung kelas tapi 40 murid satu kelas? - PAGE

Harits Asyraf Hasnan
Disember 30, 2017 14:47 MYT
Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata inisiatif tersebut tidak akan menunjukkan keberkesanannya sekiranya jumlah murid dalam sebuah kelas masih lebih 35 orang. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) mempersoal tindakan Kementerian Pendidikan yang mengarahkan penghentian pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid.
Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut tidak akan menunjukkan keberkesanannya sekiranya jumlah murid dalam satu kelas masih lebih 35 orang.
"Inisiatif ini ada kesan baik dan buruknya. Kesan baiknya adalah murid cemerlang yang membantu rakan mereka yang lemah akan menjadikan mereka lebih cemerlang.
"Tapi isu utama adalah bagaimana proses pengajaran dan pembelanjaran yang akan berlaku sekiranya dalam satu kelas lebih 35 hingga 40 orang murid?
"Sebab itu pentingnya kurangkan murid dalam satu kelas supaya guru boleh memberi fokus dalam proses pengajaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Ujarnya, beberapa negara seperti Jepun, Finland dan Korea Selatan yang melaksanakan inisiatif itu menunjukkan kesan positif; bagaimanapun, jumlah murid hanya 16 orang dalam satu kelas seperti yang dicadangkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
Beliau mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan hanya menempatkan antara 20 hingga 25 murid sahaja dalam satu kelas.
Tegas Noor Azimah, jika kerajaan ingin kekal dengan jumlah pelajar sedia ada, mereka sepatutnya menempatkan guru
Selasa lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata amalan berkenaan bukan dasar pendidikan, namun dilakukan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS), yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) sebelum ini.
Jelasnya, tiada keperluan untuk pihak sekolah mengasingkan murid mengikut tahap akademik sebaliknya, menggalakkan semua pelajar yang mempunyai tahap penguasaan akademik dan kelebihan berbeza dicampurkan supaya dapat saling membantu.
#Kementerian Pendidikan #Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan #murid #PAGE #pendidikan #pengasingan kelas #penghentian pengasingan kelas #penguasaan akademik #sekolah
;