Apa dah jadi dengan Bukit Tabur? MPAJ sahkan aktiviti 'kerja tanah' tanpa kebenaran

Fareez Azman
Ogos 10, 2022 19:55 MYT
MPAJ mendedahkan, lima pemilik lot tanah di kawasan Bukit Tabur dikenal pasti melakukan kerja penolakan tanah tanpa permit. Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan terdapat kerja meratakan tanah tanpa permit berlaku di Bukit Tabur di sini, dan sudah mengeluarkan notis kepada pihak terbabit menghentikan aktiviti terbabit.
Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim, berkata semakan mendapati lima lot di kawasan Bukit Tabur didapati menjalankan kerja penolakan tanah tanpa kebenaran.
"Setakat ini kita tidak pernah beri kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menjalankan kerja tanah di atas Bukit Tabur itu.
"Kita dapati ada lima lot terlibat dalam kawasan Bukit Tabur yang menjalankan kerja tanah, dan (pemilik) lima lot ini telah kita berikan notis untuk henti kerja.
"Mereka ini sudah kita minta untuk menjalankan pemulihan kepada tanah. Biasanya kita minta mereka tanam rumput dan pokok untuk pulihkan kembali kepada asal," jelasnya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata, MPAJ juga dalam proses mendakwa beberapa pemilik tanah di kawasan berkenaan atas kesalahan tertentu, namun tidak boleh mendedahkannya buat masa ini kerana boleh mengganggu siasatan.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan di sebalik tarikan dan keindahan Bukit Tabur yang menjadi tumpuan ramai, terselit kebimbangan penduduk serta pendaki yang menyedari terdapat aktiviti penebangan hutan di kawasan itu.
Mereka mendakwa, beberapa kawasan di sepanjang laluan ke puncak kelihatan gondol, dipercayai diterangkan oleh pemilik tanah yang berstatus pertanian itu, untuk pembangunan.
Penduduk bimbang aktiviti sedemikian akan memberi kesan kepada alam sekitar seterusnya boleh menyebabkan bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat, jika tidak dilakukan mengikut prosedur sewajarnya.
Tanah pertanian milik persendirian
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi menjelaskan, tidak timbul isu penebangan hutan seperti didakwa kerana semua tanah yang terbabit adalah milik persendirian dan berstatus pertanian.
"Sebanyak 300 lot tanah di Bukit sebenarnya adalah milik persendirian sejak tahun 1924 lagi dengan keluasan 600 ekar.
"Sudah tentu ia satu pelaburan buat pemilik tanah yang inginkan hasil daripada pelaburan mereka," katanya.
Bagaimanapun, kata Mohd Fauzi, pemilik menghadapi kekangan disebabkan ketiadaan jalan atau laluan akses ke tanah masing-masing.
"Hakikatnya, rizab jalan di Bukit Tabur yang terletak di kawasan cerun menjadi kekangan buat pemilik, sehinggakan terpaksa membuat laluan sementara merentasi kawasan pemilik lot tanah yang lain.
"Mereka ini adalah pemilik persendirian, sudah tentu mereka ada usaha untuk nak majukan tanah milik mereka tetapi masalahnya kerana tidak ada rizab jalan.
"Sebab itu mereka membina laluan masing-masing di situ merentasi lot-lot persendirian rakan-rakan mereka di kawasan sekitar terutama di kawasan bawah (kaki bukit).
"Jadi bila kawasan hutan, nak dibina infrastruktur laluan, sebab itu mereka akan buka sikit tanah, (dan ada yang) menjalankan kerja-kerja tanah tanpa kebenaran daripada MPAJ... tiada permit," katanya.
Bukit Tabur kawasan sensitif
Menjelaskan lanjut, Mohd Fauzi berkata, meskipun milik persendirian, terdapat larangan aktiviti pertanian berskala besar di situ kerana ia terletak berhampiran Permatang Kuarza dan Rizab Hidupan Liar yang diklasifikasi sebagai kawasan sensitif alam sekitar.
Katanya, hanya pertanian berskala kecil dibenarkan di kawasan terbit.
"Setakat ini kita tak benarkan (pertanian skala besar), sebab kawasan ini kawasan sensitif alam sekitar. Untuk pertanian secara kecil-kecilan dibenarkanlah.
"Setakat kebun durian tanam sepokok dua itu bolehlah, tapi untuk skala besar (seperti ladang) durian Musang King tak ada. Mungkin ada yang tanam, tapi tak berskala besar, masih lagi dalam pemantauan kita," katanya.
JTKSAS akan keluarkan panduan lengkap
Tambah Mohd Fauzi, pihaknya telah memanjangkan isu berkenaan ke peringkat Jawatankuasa Teknikal Kawasan Sensitif Alam Sekitar (JTKSAS) Negeri Selangor.
"Satu ketetapan yang kita buat, kita nak bawa isu ini ke peringkat JTKSAS iaitu untuk mendapatkan satu hala tuju yang jelas untuk membangunkan kawasan seumpama ini.
"Kawasan ini kawasan sensitif alam sekitar tapi bagaimana kita nak bangunkan, itulah isunya, jadi sebab itu kita perlu dapatkan satu hala tuju panduan kepada JTKSAS di bawah Pelan Malaysia," jelasnya.
Mohd Fauzi berkata, pemilik tanah boleh mengikut panduan yang akan ditetapkan oleh jawatankuasa terbabit sekali gus dapat meredakan kegusaran penduduk, terutama melibatkan keselamatan mereka.
"Jadi ini kita usahakan untuk membantu pemilik tanah di kawasan berkenaan, apakah cara yang sebenar atau cara yang betul untuk mereka nak majukan tanah mereka.
"Ya ini tanah pertanian, tapi mereka (mungkin merancang) lebih ke arah perniagaan komersial, tetapi isunya adalah kawasan sensitif alam sekitar, itulah perkara yang perlu kita dapatkan satu jawapan untuk memudahkan pemilik tanah majukan kawasan mereka," katanya lagi.
Bukit Tabur akan dijadikan Geopark
Tambah Mohd Fauzi, satu perjumpaan dan penjelasan bersama penduduk juga akan dibuat selepas ketetapan dikeluarkan JTKSAS.
Ia bagi memberi makluman kepada penduduk berkenaan keadaan sebenar dan perancangan jangka masa panjang di Bukit Tabur.
Malah Bukit Tabur juga jelasnya, dalam perancangan untuk dijadikan sebagai Geopark di Hulu Klang.
"(Ketika ini) kawasan itu (sudah digazetkan sebagai) Permatang Kuarza di bahagian atas itu dan Rizab Hidupan Liar... satu lagi kita nak jadikan ia kawasan Geopark.
"Kita nak rizabkan kawasan betul-betul, menjaga alam sekitar warisan. Insya-Allah hujung tahun ini (permohonan akan dilakukan), perancangan semua dah ada," katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika artikel ini ditulis, Astro AWANI turut dihubungi oleh sekumpulan pemilik tanah di kawasan terbabit yang ingin menjelaskan situasi mereka.
Nantikan artikel seterusnya, apa pula kata pemilik tanah mengenai isu ini.
#Bukit Tabur #penebangan hutan #MPAJ ambil tindakan #penduduk bimbang bencana alam