Apa beza paten dan cap dagangan? Ini perbezaannya menurut MyIPO

Astro Awani
Januari 15, 2021 14:34 MYT
Jenama atau nama tidak boleh dipatenkan, ia perlu didaftarkan sebagai cap dagangan atau biasanya ramai yang sebut trademark. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari ini, isu paten dan cap dagangan produk kerap dibangkitkan terutama di media sosial.
Ia susulan tindakan kontroversi seorang usahawan wanita terkenal yang telah membuat permohonan cap dagangan bagi nama makanan 'Harimau Menangis' melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) baru-baru ini.
Pada masa sama, apa yang perlu difahami ialah jenama atau nama tidak boleh dipatenkan, ia perlu didaftarkan sebagai cap dagangan atau biasanya ramai yang sebut trademark.
Namun, masih ada yang keliru antara paten dan cap dagangan. Berikut perbezaan antara kedua-duanya seperti dinyatakan MyIPO:
PATEN
- Satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk suatu reka cipta, sama ada ia adalah satu produk atau satu proses untuk melakukan sesuatu yang baharu, atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah.
- Pembaharuan utiliti adalah hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta kecil yang tidak memerlukan ujian langkah mereka cipta sebagaimana yang diperlukan untuk mendapat paten.
Reka cipta yang boleh dipatenkan:
- Baharu: Reka cipta itu masih belum dizahirkan kepada orang awam di mana-mana di dunia;
melibatkan langkah mereka cipta yang mana reka cipta itu tidak ketara kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dalam bidang teknologi tersebut, dan dapat digunakan dalam mana-mana industri.
Reka cipta yang tidak boleh dipatenkan:
- Penemuan: Teori-teori saintifik dan kaedah-kaedah matematik, varieti tumbuhan atau binatang atau proses yang ada pada dasarnya adalah proses biologi bagi pengeluaran tumbuhan atau binatang, selain daripada mikroorganisma hidup buatan manusia, proses mikrobiologi dan keluaran-keluaran proses mikroorganisma itu
- Skim, aturan atau kaedah bagi menjalankan perniagaan, melakukan perbuatan-perbuatan mental semata-mata atau bermain apa-apa permainan
- Kaedah-kaedah merawat tubuh manusia atau binatang melalui pembedahan atau terapi, dan kaedah-kaedah diagnosis yang dilakukan kepada tubuh manusia atau binatang.
Kepentingan Pendaftaran Paten:
- mengeksploit reka cipta yang dipatenkan
- penyerah hak atau pindah milik
- membuat kontrak lesen
Tempoh Paten:
- Perlindungan Paten adalah selama 20 tahun dari tarikh pemfailan
CAP DAGANGAN
- Cap Dagangan ertinya apa-apa tanda yang boleh dinyatakan secara grafik yang boleh membezakan barang-barang atau perkhidmatan satu perusahaan daripada perusahaan-perusahaan yang lain.
- Tanda termasuklah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, urutan gerakan atau apa-apa gabungannya.
- Cap kolektif adalah suatu tanda yang menunjukkan barang-barang atau perkhidmatan anggota persatuan yang merupakan tuan punya cap kolektif daripada perusahaan yang lain.
- Cap perakuan adalah suatu tanda yang membezakan barang-barang atau perkhidmatan dengan tanda itu hendaklah digunakan adalah diperaku oleh tuan punya cap perakuan berkenaan dengan tempat asal, bahan, cara pengilangan barang-barang atau pelaksanaan perkhidmatan, kualiti, ketepatan atau ciri-ciri lain.
Fungsi Cap Dagangan:
- Fungsi Asal: Cap Dagangan ialah ia dapat menunjukkan sumber yang bertanggungjawab mengeluar atau menjual sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Pemilihan: Cap Dagangan memudah dan mempercepatkan pengguna membuat pilihan semasa membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.
- Fungsi Kualiti: Pengguna memilih cap-cap tertentu kerana berkeyakinan barang barang atau perkhidmatan berkenaan terjamin kualitinya.
- Fungsi Pemasaran: Peranan cap dagangan selaku alat pengiklanan sangat berkesan. Menjadi kebiasaan pengguna membeli sesuatu keluaran kerana terpengaruh dengan iklan yang berterusan.
- Fungsi Ekonomi: Cap-cap yang telah ‘established’ di pasaran menjadi aset yang sangat bernilai. Cap tersebut boleh dilesenkan atau di ‘franchise’kan.
Kepentingan Pendaftaran Cap Dagangan:
- Keistimewaan pendaftaran harta intelektual didalam cap dagangan adalah melalui penggunaan dalam urusan perniagaan dan disediakan untuk:
- Hak Eksklusif: Pemilik cap dagangan berdaftar mendapat hak ekslusif untuk menggunakan cap dagangan berkenaan dalam urusan atau perjalanan perdagangan. Pemilik cap dagangan juga berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran
- Bukti sah undang-undang: Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar menjadi bukti sebagai pemilik yang sah ke atas sesuatu cap dagangan. Bukti ini diterima di mahkamah dan juga pihak penguatkuasaan. Ia juga merupakan dokumen penting untuk membuktikan ‘kesahihan’ hak milik cap dagangan dalam urusan pengeksportan barangan ke luar negeri.
Tempoh Perlindungan:
- Pendaftaran cap dagangan adalah sah selama sepuluh tahun dari tarikh pendaftaran dan perlu diperbaharui setiap 10 tahun
BACA: Ibu Neelofa batalkan permohonan cap dagangan 'Harimau Menangis' serta-merta
BACA: Cap dagang 'Harimau Menangis' belum lulus, jangan dahului MyIPO - KP
#paten #cap dagangan #MyIPO #usahawan #Malaysia #Daging Harimau Menangis
;