Apa belia Kadazandusun mahu?
Tan Su Lin
April 14, 2018 06:21 MYT
April 14, 2018 06:21 MYT
Ceasar Mandela Malakun nama diberi.
Lebih dikenali sebagai Mandela, lelaki bersusuk tinggi ini dinamakan sempena tokoh perjuangan anti-apartheid, Nelson Mandela.
Anak kelahiran Penampang berusia 27 tahun ini mempunyai cita-cita yang tinggi untuk anak muda di Sabah.
Berjurusan undang-undang, dia berharap golongan belia diberikan suara dalam pentadbiran negara.
Alasannya mudah sahaja, "kerana belia adalah masa depan negara."
Namun Mandela yang juga Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) berharap budaya dan warisan masyarakat Sabah tetap dikekalkan dalam negara mengejar pembangunan.
"Dalam masa lima tahun akan datang saya berharap kita masih mengamalkan budaya warisan Malaysia dan masih mempunyai budaya dan kebebasan agama seperti mana sedia ada pada hari ini.
"Begitupun, kami tidak mahu ketinggalan, tetapi berdiri sama tinggi dengan belia di Semenanjung Malaysia dan juga Sarawak," katanya.
Namun, isu yang masih membelenggu golongan belia Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) termasuk isu gaji dan peluang pekerjaan.
Seorang lagi anak muda, Sean Patrick Johny berpendapat usaha memperkasa golongan muda perlu dipergiatkan bagi melahirkan lebih banyak bakat dan tenaga mahir berkualiti.
"Saya rasa orang muda tidak diberi peluang yang cukup luas khususnya masyarakat KDM. Saya berharap kita dapat melatih golongan muda agar kita dapat bersaing dengan luar negara," katanya.
Turut senada Mazliana Mat Saidi, 26, yang berpendapat ketidaksamarataan peluang dan pendedahan juga meningkatkan jurang belia di Sabah dengan negeri-negeri lain.
"Selain kadar pengangguran tinggi, saya melihat ada perbezaan dalam tawaran kerja dari segi gaji dan manfaat juga berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
"Saya berharap lebih banyak peluang yang setara diberikan untuk golongan muda termasuk lepasan graduan," katanya.
#Belia
#budaya
#Ceasar Mandela Malakun
#gaji
#Kadazandusun
#KDCA
#KDM
#MalaysiaMemilih
#peluang pekerjaan
#Sabah
#Sarawak