"Apa alasan SPRM? Kenapa cetuskan ribut?" - Rais, Kadir bimbang pendedahan SPRM
Astro Awani
Januari 9, 2020 13:16 MYT
Januari 9, 2020 13:16 MYT
Ketika sebilangan pihak mengagumi tindakan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rakaman audio berkisar konspirasi peringkat tertinggi, ada juga yang tidak bersetuju dengan tindakan itu.
Pendedahan sembilan set rakaman audio yang dibuat oleh SPRM itu disifatkan dua Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim dan Datuk A Kadir Jasin sebagai membimbangkan.
Bagi Rais, beliau tertanya-tanya alasan SPRM memutuskan untuk mendedahkan rakaman itu kepada orang awam.
Dalam masa sama, bekas menteri itu turut mengingatkan tindakan SPRM itu boleh menjejaskan perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini sedang berlangsung di mahkamah.
"Beberapa pendedahan rakaman audio perbualan telefon SPRM boleh menjadi bukti substantif dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung.
"Tidakkan ia prejudis jika mendedahkannya sekarang? Ramai antara kita berfikir demikian. Apa tujuannya? Kita tidak diberitahu," kata Dr Rais dalam hantaran di Twitter peribadinya.
Menurut Penasihat Media Perdana Menteri itu, apa yang sewajarnya SPRM lakukan ialah menyiasat dan mengambil tindakan.
"Jangan didedahkan untuk buat ribut dan sensasi saja. Wajib siasat dan ambil tindakan. Kalau tidak orang tak percaya.
"SPRM boleh hilang kewibawaan malah boleh dituduh buat fitnah," kata Kadir dalam statusnya di laman Facebook.
Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman audio yang mencetuskan kegemparan.
Antara rakaman yang didedahkan itu merupakan perbualan yang dipercayai antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam perbualan itu, dipercayai suara Rosmah meninggikan suara dan menasihati Najib mengenai langkah yang perlu segera diambil untuk menyelesaikan kemelut 1MDB.
BACA: "You are the Prime Minister, you should take charge ..." - Audio rakaman dipercayai mirip suara Rosmah, Najib
BACA: "I have this personal request, Your Highness" - Audio rakaman dipercayai antara Najib dan Putera Mahkota UAE
Tidak ketinggalan rakaman audio daripada sumber yang tidak didedahkan oleh SPRM itu mengenai perbualan yang dipercayai antara Najib dan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE) memohon perlindungan melindungi anak tirinya, Riza Aziz menyelesai masalah 1MDB.
Dalam reaksi segera, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mempertikaikan tindakan SPRM kerana mendedahkan bukti audio yang beliau disifatkan dibuat secara haram dan tidak sah.
Najib turut mempersoalkan kenapa pendedahan itu dibuat oleh SPRM dan bukannya pihak polis.
#Kadir Jasin
#konspirasi peringkat teringgi
#Latheefa Koya
#Najib Razak
#pendedahan rakaman audio
#Rais Yatim
#Rosmah Mansor
#SPRM