Anyaman rotan bersaiz miniatur semakin menjadi pilihan
Bernama
September 11, 2021 10:48 MYT
September 11, 2021 10:48 MYT
JASIN: Jika memperkatakan perihal hasil rotan, yang terbayang dalam fikiran sudah tentu perabot seperti almari hiasan, kerusi malas serta bakul yang rata-ratanya bersaiz standard.
Namun, sepasang suami isteri yang merupakan usahawan kraftangan melakukan sebaliknya dengan menghasilkan anyaman bersaiz kecil atau miniatur yang nyata memberi kepuasan malah cabaran tersendiri dalam memenuhi permintaan pelanggan.
Zanurah Ramli, 55, berkata idea menghasilkan anyaman rotan bersaiz kecil itu timbul apabila mendapat tempahan daripada pelanggan yang mahu dia membuat alatan permainan kanak-kanak kira-kira setahun yang lepas.
"Pelanggan dari Pulau Pinang itu siap hantar gambar dan ukuran permainan kanak-kanak yang dia mahukan iaitu sudu, senduk penyukat, kuali leper serta mangkuk," katanya yang membuat tempahan anyaman bersama suami Mansor Md Dan, 56.
"Memang saya dan suami termenung sekejap apabila mendapat tempahan tersebut tapi kami sahut cabaran dan membuatnya. Apabila siap set permainan kanak-kanak itu seperti yang dimahukan, kami hantar gambar dan nyata pelanggan itu sangat berpuas hati," katanya ketika ditemui Bernama di Sungai Rambai di sini.
Rentetan tempahan tersebut, Zanurah dan Mansor mula mendapat tempahan produk rotan bersaiz kecil dan bagi mereka, ia memudahkan proses penghantaran melalui pos.
Mansor berkata walaupun dibuat dalam saiz kecil, kualiti pembuatan tetap dijaga memandangkan produk mereka dipantau oleh Kraftangan Malaysia cawangan Melaka.
"Kami menggunakan rotan putih kerana ia nampak lebih semula jadi dan menjadi pilihan ramai. Ketebalan saiz yang digunakan bermula dari 1.0 milimeter (mm) hingga 3.5 mm yang dibeli dari sebuah kilang di Selangor.
"Jari tangan memang sakit jugalah untuk menganyam terutama apabila perlu guna rotan yang besar dan menggunakan pelbagai teknik anyaman seperti anyaman tiga serentak, anyaman siku keluang, anyaman satu atas satu atau anyaman berlian, ia menjadi semakin mencabar," katanya yang mula menganyam produk rotan sejak berusia 16 tahun.
Untuk itu jelasnya, bagi memulakan satu-satu proses menganyam yang juga disebut sebagai 'menaja', waktu yang baik ialah pada sebelah pagi, malam atau dalam keadaan cuaca redup dan dingin kerana rotan lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah.
Secara asas kata Mansor, proses menganyam daripada rotan melibatkan tiga peringkat kerja iaitu tapak, badan dan bingkai atau tangkai bakul.
"Paling utama ialah proses 'lagang' atau membuat tapak sesuatu produk memandangkan rupa bentuk anyaman bergantung kepada ukuran panjang atau saiz lagang yang dibuat. Jika ia tidak tepat, bakul (atau sesuatu produk) akan menjadi senget," katanya.
Bagi proses anyaman pula, ia melibatkan tiga proses iaitu anyaman kelarai, anyaman biasa dan anyaman sulam manakala proses 'lepih' pula merupakan proses mematikan anyaman pada tepi produk atau bingkai sebagai mengakhiri kerja anyaman.
"Bagi teknik matikan bingkai, anyaman tocang/lipan, anyaman selit serta simpulan ulas limau sering digunakan memandangkan ia memberi impak unik pada produk yang dihasilkan.
"Jika terdapat permintaan anyaman yang memerlukan rotan berwarna, kami akan warnakan rotan itu sendiri di rumah dengan memasaknya di dalam air yang dimasukkan pewarna sebelum dijemur sehingga kering dalam keadaan teduh," katanya.
Jelas Mansor, kreativiti juga amat penting dalam menghasilkan anyaman rotan ini dan ilham tersebut boleh timbul tanpa diduga.
"Kami ada membuat kasut sempena perayaan Krismas pada tahun lepas dan ia sangat mendapat sambutan. Begitu juga dengan pelita ayan, kuali dan lampu tidur dan semua ini dihasilkan dalam pelbagai saiz mengikut permintaan," katanya yang menyasarkan produk mainan kanak-kanak sebagai item utama mereka.
Sementara itu, lapangan MyCraft Shoppee, E-Kraf Bazar dan aplikasi CraftOnThe Go yang boleh dimuat turun daripada Play Store dan App Store secara tidak langsung meningkatkan dan meluaskan pasaran produk anyaman rotan mereka serta 10 usahawan hasil rotan lain yang terdapat di seluruh Melaka.
Jelas Mansor, secara tidak langsung ia menjamin kelangsungan mereka dalam penjualan produk rotan malah beliau mengakui tempahan yang diterima tidak pernah surut daripada penggemar produk dari hutan ini.
"Alhamdulilah, tempahan sangat baik malah hingga Oktober ini, tempahan sudah penuh. Kami terpaksa juga menolak tempahan sebab hanya kami berdua yang melakukannya," katanya.
-- BERNAMA