Anwar zahir rasa kecewa dengan perkembangan mutakhir di Gaza
Bernama
Mei 1, 2024 17:15 MYT
Mei 1, 2024 17:15 MYT
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan semasa di Gaza, Palestin, yang menunjukkan seolah-olah tiada tanda bahawa kezaliman terhadap penduduk akan reda.
Anwar yang baru sahaja pulang dari lawatan kerja ke Arab Saudi semalam berkata isu kemanusiaan di Gaza kerap disuarakannya setiap pertemuan dengan mana-mana pemimpin antarabangsa.
Beliau berkata dalam pertemuan dengan pemimpin negara asing di Riyadh, termasuk Raja Arab Saudi, perdana-perdana menteri, dan juga menteri-menteri luar dari negara-negara seperti Jordan, Mesir, Turki, Iraq dan Pakistan, maklumat yang diterima mengenai perkembangan mutakhir di Gaza sangat tak menyakinkan, dan menggusarkan.
"Saya sepanjang malam dan hari ini merasa sangat terkesan kerana seolah-olah dunia ini menghampakan. Bicara soal demokrasi, soal kemanusiaan dan menjadi manusia tinggi tamadunnya tetapi maruah dan nilai masih hambar, masih tak memuliakan insan. Jadi sebab itu nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza masih belum terjamin," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Anwar turut menempelak dunia barat yang dilihat tidak peduli tentang nasib rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata beliau telah sedaya upaya ketika berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan beberapa pemimpin dunia lain sebelum ini, menyatakan (pendirian) Malaysia dalam isu di Gaza.
"Ini bukan untuk memanaskan dan mempersulitkan hubungan dua hala, tetapi menyatakan sikap sebagai seorang manusia tentang hipokrasi atau kepura-puraan untuk menyokong satu pihak dan menghina satu pihak lain.
"Kezaliman itu berlaku ke atas orang Islam atau orang Kristian, Hindu atau Budha, namanya tetap kezaliman, dan wajib kita pertahan dan bela nasib mereka. Malangnya ini bukan menjadi pandangan negara-negara terutama negara kaya (di) barat yang boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga, tidak mendengar jeritan anak-anak kecil dan wanita," katanya.
Anwar sebelum ini berada di Arab Saudi selama dua hari bagi menyertai Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh yang turut dihadiri lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan serta industri.
-- BERNAMA