Anwar yakin menang jika PRU diadakan lebih awal
Hasimi Muhamad
Disember 21, 2024 16:02 MYT
Disember 21, 2024 16:02 MYT
SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajui beliau mempunyai kelebihan untuk menang jika pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri berkata, keyakinan tersebut bersandarkan kepada kerangka pentadbiran Kerajaan Madani termasuk penambahbaikan dalam isu tatakelola dan kebajikan penjawat awam.
"Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang... Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang.
"Mereka (penjawat awam), kini saya fikir mereka menghargai kejujuran kerajaan dan mereka juga tahu jangkaan adalah lebih tinggi (daripada rakyat mengenai perkhidmatan penjawat awam)," katanya.
Anwar berkata demikian menjawab pertanyaan sama ada beliau yakin boleh memenangi PRU, jika pilihan raya diadakan hari ini ketika sidang media bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Mengenai prestasi Kerajaan Madani dan barisan Jemaah Menteri sepanjang dua tahun pentadbiran, Anwar berkata ia masih boleh diperbaiki pada masa depan.
Menteri Kewangan itu juga mengakui terdapat prestasi barisan menteri yang dikategorikan sebagai cemerlang dan ada juga yang masih di tahap sederhana.
"Apakah saya berpuas hati? Ya saya cuba sedaya upaya, tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Apakah saya puas hati dengan prestasi menteri? Ada yang cemerlang... ada yang sederhana. Sama juga dengan Perdana Menteri, apakah sudah puas hati dengan Perdana Menteri?
"Jadi saya jawab masih ada ruang untuk perbaiki dan insya-Allah kita perbaiki kerana ada sedikit pengalaman," tambah beliau.
Sementara itu, Anwar memaklumkan antara perkara penting sepanjang dua tahun pentadbiran adalah Kerajaan Madani tidak mengizinkan amalan lama berulang termasuk rundingan terus projek ataupun 'kecurian' komisen.