Anwar yakin dengan pelan peralihan kuasa yang berlangsung
Bernama
Jun 23, 2019 21:47 MYT
Jun 23, 2019 21:47 MYT
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin dengan pelan peralihan kuasa yang akan menyaksikan beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya walaupun beliau merasakan tidak perlu untuk bercakap mengenai pelan peralihan itu, beliau sedar memang terdapat banyak spekulasi mengenainya.
"Kami dapati perlu untuk mengesahkan semula kedudukan perkara ini, dan menyuarakan rasa puashati dengan proses peralihan yang berlangsung, (kerana) saya lihat orang ramai cenderung berpandangan negatif, walaupun setelah Perdana Menteri pengulangi pendiriannya mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat PKR di sini hari ini.
Beliau berkata Dr Mahathir dilihat jujur dan ikhlas dalam perbincangan mereka, terutama dalam setiap pertemuan mereka secara peribadi
"Saya puas hati, Saya tidak ada sebarang keraguan lagi, bahawa peralihan kuasa ini akan berlangsung," katanya.
"Setahu saya, ia adalah muktamad," tambahnya.
Jumaat lepas, Dr Mahathir yang ditemubual dalam satu sesi program 'The Future of Malaysia and ASEAN' di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok, Thailand, mengulangi jaminan bahawa beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.
-- BERNAMA
#Amanah
#Anwar Ibrahim
#Bersatu
#DAP
#kepimpinan negara
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Pakatan Harapan
#peralihan kuasa
#Perdana Menteri
#PKR
#setahun malaysia baharu
#UMNO