Anwar, Wan Azizah buat kunjungan ke Istana Kelantan

Vivi Sumanti
Mei 24, 2018 06:44 MYT
Dr Wan Azizah dan Anwar tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sempena majlis menerima menghadap bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Istana Mahkota Kubang Kerian malam tadi. - BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kunjungan hormat menghadap bonda dan ayahanda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Sultan Ismail Petra Ibni Al Marhum Sultan di Istana Mahkota di sini, malam tadi.
Kunjungan hormat menghadap itu merupakan antara lawatan pertama selepas Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, bersama suaminya Anwar, ke Kota Bharu.
Pertemuan tertutup itu berlangsung di Istana Mahkota Kelantan yang mana kunjungan tersebut difahamkan sebagai mempersembahkan ucapan penghargaan dan terima kasih Anwar kepada Istana Kelantan susulan pengampunan diraja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, baru-baru ini.
Dr Wan Azizah dan Anwar tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu sekitar jam 9.45 malam tadi dan meneruskan program mereka di Istana Mahkota.
Mereka meluangkan masa hampir satu jam sebelum bertolak pulang ke ibu negara sekitar jam 11.30 malam tadi.

* Artikel ini telah dikemas kini pada Jumaat (Jun 1, 2018) untuk memuatkan maklumat terbaharu yang dikemukakan.

#Anwar Ibrahim #Istana Kelantan #Istana Mahkota #Wan Azizah
;