Anwar ucap takziah kepada keluarga Tan Sri Dr Ibrahim Saad
Bernama
November 16, 2024 10:30 MYT
November 16, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Ibrahim Saad yang meninggal dunia petang semalam.
Anwar berkata beliau berduka atas kehilangan Allahyarham, yang disifatkannya sebagai seorang sahabat yang baik.
"Mendoakan keluarganya diberi ketabahan serta diampunkan segala dosa almarhum, insya-Allah," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.
Ibrahim meninggal dunia pada usia 78 tahun di Hospital Pakar Damansara di sini pada 6.30 petang semalam akibat komplikasi pernafasan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Zainab Abdul Kadeer, 76, dan lima cahaya mata iaitu dua lelaki dan tiga perempuan.
Karier politik Allahyarham bermula sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.
Ibrahim pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal bermula 1986 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada 1995.
Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1990 hingga 1995 dan kemudian menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1995-1999) dan Timbalan Menteri Pengangkutan (1999).
Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada 2005 hingga 2007 dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (2007-2009).
-- BERNAMA