Anwar tiba di Phnom Penh, lawatan rasmi perkukuh hubungan Malaysia-Kemboja
Bernama
Mac 27, 2023 10:33 MYT
Mac 27, 2023 10:33 MYT
PHNOM PENH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kemboja hari ini untuk lawatan rasmi sehari bagi memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan negara itu sejak 1957.
Lawatan rasmi dan sulung Anwar ke negara itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Ketibaan Anwar di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada 9.05 pagi waktu tempatan disambut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Othsman Hassan selaku Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja.
Selain Sivakumar, lawatan Anwar itu turut diiiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Selepas tiba, Perdana Menteri dibawa ke Peace Palace di sini yang merupakan pejabat rasmi Perdana Menteri Kemboja untuk diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti acara lintas hormat diiringi Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Anwar dan Hun Sen kemudian akan mengadakan pertemuan dua hala bagi membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa disusuli sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan sebelum menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU itu adalah mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Formal yang akan memperkasakan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor perburuhan.
Selepas itu, Anwar akan menghadap Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.
Perdana Menteri kemudian dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat Kemboja, Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja, Heng Samrin sebelum bertemu kira-kira 300 rakyat Malaysia di negara itu di Kedutaan Malaysia.
Dalam jadual yang padat itu, Perdana Menteri juga akan menghadiri majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama golongan ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja dengan kehadiran kira-kira 6,000 orang di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Chroy Changvar, di sini.
Pada majlis itu, Anwar akan menyaksikan simbolik penyerahan 1,500 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Khmer dan bahasa Inggeris dari Malaysia kepada masyarakat Islam di Kemboja dan mengerjakan solat tarawih di Masjid Al-Serkal di sini sebelum berlepas pulang ke tanah air.
Pada 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan US$683.6 juta, peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Nilai eksport ke Kemboja pula meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada US$526.5 juta manakala import dari Kemboja merekodkan peningkatan 43.5 peratus kepada US$157.1 juta berbanding tahun sebelumnya.
- BERNAMA