Anwar tiba di Kuching, pengerusikan mesyuarat MA63 esok
Azizah Alwi
Januari 19, 2023 16:25 MYT
Januari 19, 2023 16:25 MYT
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak pada Khamis.
Ini merupakan lawatan sulung Anwar ke Bumi Kenyalang sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Lawatan kerja ini juga disifatkan langkah penting bagi menterjemah komitmen Kerajaan Pusat dalam menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pesawat rasmi yang membawa Anwar itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 4.15 petang.
Ketibaan beliau disambut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun openg dan timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sebaik sahaja tiba Anwar mengadakan pertemuan tertutup bersama Abang Johari di kediamannya disusuli Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pada hari kedua lawatan, Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Bangunan DUN Sarawak.
Dapatan daripada mesyuarat itu amat ditunggu-tunggu dalam melihat bagaimana pentadbiran Anwar memberi fokus kepada penyelesaian isu-isu berkaitan MA63.
Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengakhiri lawatan, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.