Anwar tiba di Kota Kinabalu untuk lawatan dua hari ke Sabah
Bernama
September 11, 2024 20:01 MYT
September 11, 2024 20:01 MYT
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu pada 7.10 malam untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada malam ini, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah yang turut dihadiri Hajiji bersama Menteri Kabinet negeri.
Esok (Khamis) 12 Sept, Anwar dijadual melawat Felda Sahabat di Lahad Datu pada sebelah pagi bagi menghadiri Karnival Segalanya Felda.
Perdana Menteri kemudiannya dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu juga turut dihadiri Hajiji dan anggota majlis yang lain.
Anwar dijadual berlepas pulang pada sebelah petang.
-- BERNAMA