Anwar tiba di Bukit Aman melalui Pintu 2
Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2020 15:38 MYT
Oktober 16, 2020 15:38 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung senarai Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya sebagai Perdana Menteri.
Difahamkan, Ahli Parlimen Port Dickson itu tiba sekitar pukul 3 petang dan memasuki Bukit Aman melalui Pintu Dua.
Sebelum itu, peguamnya, Ramkarpal Singh dilihat turut hadir di Ibu Pejabat Polis di sini sekitar 2.35 petang.
Bekas timbalan Perdana Menteri itu dijadual memberi keterangan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi media mengesahkan perkara tersebut.
Sebelum ini, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihak polis menerima lebih 113 laporan berhubung dakwaan sokongan Ahli Parlimen yang menyokong Anwar.
Susulan itu, Huzir memaklumkan PDRM memanggil Anwar untuk memberikan keterangan pada 12 Oktober.
Bagaimanapun, setiausaha sulitnya memaklumkan Anwar hanya dapat hadir pada 13 Oktober.
Kes dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Anwar Ibrahim
#Ketua Pembangkang
#polis
#PDRM
#Bukit Aman
#keterangan
#ahli Parlimen
#Perdana Menteri
#Ramkarpal Singh
#Politik Malaysia