Anwar terus guna platform dunia selar sikap prejudis kuasa besar

Firdaus Azil
Mei 14, 2024 15:00 MYT
Perdana Menteri berkata sikap kuasa besar dunia jelas kelihatan, apabila mereka bersikap prejudis dan cenderung menyokong sesuatu yang dilihat selari dengan agenda mereka, walaupun ia melibatkan krisis kemanusiaan. - Foto tangkapan layar
DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggunakan platform dunia untuk menyelar sikap hipokrit sesetengah kuasa besar yang bersikap selektif, dan sengaja menyebarkan fahaman tidak betul terhadap dunia Islam.
Terbaharu, beliau berpeluang berkongsikan mesej tersebut sewaktu diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Masa Depan Dunia Islam’, di Perpustakaan Negara Qatar, di Universiti Hamad bin Khalifa, di sini pada Selasa.
Perdana Menteri berkata, sikap kuasa besar dunia itu jelas kelihatan, apabila mereka bersikap prejudis dan cenderung menyokong sesuatu yang dilihat selari dengan agenda mereka, walaupun ia melibatkan krisis kemanusiaan.
“Orang yang bertamadun tidak akan bergaduh. Apa yang berlaku sekarang ialah pertembungan kejahilan. Mereka yang sering berbicara tentang hak asasi manusia, demokrasi, tetapi menafikan hak sesetengah orang semata-mata kerana berlainan warna kulit, atau menganut agama yang berbeza, orang ini harus datang ke perpustakaan dan belajar lebih tentang kemanusiaan, kehidupan, dan pengetahuan.
“Mereka fikir mereka lebih memahami tentang dunia Arab atau Islam, dan budaya lain sama ada Cina atau India. Anda tidak sewajarnya membezakan manusia berdasarkan kekayaan, warna kulit atau kepercayaan, tetapi berdasarkan ketakwaan.
“Jadi apabila kita bercakap tentang masa depan dunia Muslim, anda tidak boleh mengabaikan relevan ketakwaan, nilai dan prinsip kemanusiaan. Tetapi itu yang terjadi pada masa kini,” katanya lagi.
Perdana Menteri kini dalam lawatan selama tiga hari ke Qatar bermula Isnin, atas jemputan Emirnya Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, dengan program kemuncak ialah Forum Ekonomi Qatar serta perasmian kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha.
Sementara itu dalam perkongsian di laman media sosialnya, Anwar berkata, dalam syarahan tersebut beliau menyentuh cabaran dan tribulasi dalam era pascanormal yang menuntut pemimpin dunia Islam menggembleng kudrat berhadapan isu Islamofobia, diskriminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia.
“Umat Islam harus kekal waras dan kembali kepada akar kekuatan yang bertunjangkan budaya ilmu, akhlak, karamah insaniah serta ketaqwaan yang mendasari ajaran Islam dan budaya ketimuran yang pernah saya ungkapkan dalam karya The Asian Renaissance.
“Pesan saya pada akademia dan mahasiswa yang hadir agar terus istiqamah menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan dalam merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Qatar #syarahan umum #dunia Islam
;