Anwar terima anugerah tertinggi Pakistan, sampaikan syarahan di NUST

Ifwan Tun Tuah
Oktober 3, 2024 11:20 MYT
Anwar ketika tiba di Islamabad bagi memulakan lawatan negara selama tiga hari ke Pakistan, 3 Okt 2024. Turut kelihatan, Tengku Zafrul, Mohamad dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Mohammad Azhar Mazlan. --fotoBERNAMA
ISLAMABAD: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menerima dua penghormatan tertinggi sepanjang Lawatan Negara beliau di sini, pada Khamis.
Anwar dijadual menerima anugerah Nishan-e-Pakistan, anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemimpin luar oleh Kerajaan Pakistan, atas usaha beliau memupuk hubungan erat dua hala antara Malaysia dan Pakistan.
Penganugerahan ini bakal disempurnakan dalam majlis rasmi di Istana Presiden pada malam Khamis, oleh Presiden Pakistan Asif Ali Zardari.
Terdahulu pada sebelah petang, Anwar juga akan menerima ijazah kehormat doktor falsafah di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan.
Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, intelektualisme Islam dan dasar-dasar beliau yang memperkukuh hubungan antara dunia Islam.
Sebagai penghormatan, beliau dijadual menyampaikan syarahan di universiti berkenaan, antara lain menyentuh tema perpaduan Islam, keadilan sosial dan masa depan kepimpinan dalam dunia Islam yang dinamik.
Syarahan Anwar dijangka menarik perhatian para intelektual dan pelajar Pakistan, yang melihat Malaysia sebagai model negara Islam yang progresif di bawah kepimpinan beliau.
Di NUST, Anwar juga dijadual melancarkan buku ‘SCRIPT: Malaysia MADANI’ yang diterjemah daripada bahasa Melayu dan Inggeris ke bahasa Urdu.
Jadual Anwar agak padat pada Khamis, dengan agenda rasmi bermula seawal jam 9 pagi, menghadiri sesi temu bual eksklusif bersama Pakistan Television Corporation (PTV), diikuti sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Perbincangan dua hala antara kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh kerjasama ekonomi, teknologi dan pembangunan serta isu-isu serantau.
Antara acara penting pada pertemuan itu adalah majlis menandatangani dua memorandum persefahaman antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan serta kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan.
Lawatan ini dijangka memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang dan membuka peluang perdagangan lebih luas untuk usahawan Malaysia di Pakistan.
Anwar turut akan menghadiri pertemuan dengan pemain industri Pakistan dalam usaha meneroka peluang perdagangan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan Malaysia di negara itu, selain menjemput tokoh perniagaan Pakistan melabur di Malaysia.
Terdahulu, Anwar tiba di Islamabad malam Rabu untuk lawatan kerja yang kemudian dinaik taraf kepada Lawatan Negara selama tiga hari oleh Kerajaan Pakistan.
Beliau disambut sendiri oleh Shehbaz sebaik tiba di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi, sebaik tiba dengan pesawat khas.
Anwar antara lain diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
#Anwar Ibrahim #Pakistan #lawatan kerja #Lawatan Negara
;