Anwar tegaskan tidak kepada kasino kedua di Malaysia

Bernama
Mei 14, 2024 18:45 MYT
Anwar ketika bercakap pada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 pada Selasa. -Bernama
DOHA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas berkata "tidak" kepada idea kemungkinan kasino kedua di Malaysia.
Bercakap pada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 di sini pada Selasa, beliau berkata Malaysia kini menumpukan sektor transformasi digital, peralihan tenaga serta kecerdasan buatan (AI).
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua sektor itu, antara lain, memadai untuk mendorong pertumbuhan masa depan.
Beliau berkata justeru, di bawah pentadbirannya, tiada keperluan untuk (lesen) kasino kedua di Malaysia.
"Sama sekali tidak! Malaysia tidak perlu terlibat dalam perniagaan kasino (kedua).
"Kami menumpukan transformasi digital, peralihan tenaga (dan) AI, dan kami percaya ini adalah (antara industri yang) mencukupi untuk memacu negara ke hadapan," katanya ketika menjawab soalan moderator Haslinda Amin dalam sesi pleno di sini.
Anwar ditanya sama ada Malaysia mempertimbangkan untuk membenarkan (lesen) kasino kedua di bawah Kerajaan MADANI.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kecerdasan buatan #kasino kedua #transformasi digital #Qatar
;