Anwar syukur agenda reformasi diangkat jadi agenda nasional

Bernama
Oktober 18, 2018 06:32 MYT
Anwar berucap sempena Pidato Malaysia Baharu di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7 Shah Alam, 18 Okt, 2018. -- fotoBERNAMA
Agenda reformasi yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 20 tahun lepas bukan sia-sia apabila ia kini diangkat sebagai agenda nasional untuk membentuk Malaysia Baharu, kata Ketua Umum parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pihaknya menghargai tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima perjuangan parti itu.
"Reformasi kini bukan agenda jalanan, tapi dari jalanan sudah pergi sehingga ke Parlimen dan Putrajaya.
"Tidak boleh digambarkan perasaan saya apabila Dr Mahathir sendiri bercakap mengenai reformasi. Dr Mahathir begitu komited melakukan reformasi dalam sistem negara yang rosak serta perlu diubah," katanya ketika berucap pada pidato Malaysia Baharu di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata pihaknya setuju memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri demi untuk memulihkan kerosakan yang berlaku dalam sistem negara.
BACA: Ini dokumen Reformasi - Ucapan Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11
Beliau juga mengingatkan pemimpin dan anggota parti untuk tidak sama sekali bertolak ansur dengan sebarang penyalahgunaan kuasa.
"Apabila berkompromi dengan syaitan, takkan ada kejayaan," katanya.
-- BERNAMA
#agenda nasional #Ahli Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #PKR #reformasi
;