Anwar sokong keputusan kerajaan sekat atlet Israel

Bernama
Januari 19, 2019 22:11 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Anggota Parlimen Lembah Pantai di Kampung Kerinchi hari ini. - Foto BERNAMA
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia yang menghalang atlet Israel daripada bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak, Julai ini
"I think the cabinet considers this as one of the way to convey very strong position against Israel's transgression on Palestine. ("Saya berpendapat kabinet menimbang perkara ini sebagai satu cara untuk menyatakan pendirian tegas terhadap pencabulan Israel terhadap Palestin.)
"They (Israel) completely ignore international community preassure, so I think the cabinet made the right decision ("Mereka (Israel) mengetepi sepenuhnya tekanan komuniti antarabangsa, jadi saya berpendapat kabinet melakukan keputusan yang tepat)," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi dan Perasmian Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, hari ini.
Turut hadir anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Pada 10 Jan lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, dan sekiranya mereka berdegil mahu menyertainya ia adalah satu kesalahan.
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menyatakan sokongannya terhadap pendirian kerajaan itu yang dianggapnya tepat dan selaras dengan dasar luar Malaysia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
Dalam pada itu mengenai teguran secara berterus terang daripada sesetengah pimpinan parti itu kepada dirinya, Anwar yang juga anggota Parlimen Port Dickson berkata beliau mengambil bersikap lebih lembut.
"Dia (PKR) ada Biro Disiplin, tapi saya mengambil sikap lebih lunak (lembut), you nak jerit, jerit okay," katanya.
Sementara itu mengenai Majlis Pemasyhuran Kampung Kerinchi, Fahmi berkata beliau kini dalam proses perbincangan dengan pejabat Datuk Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mewartakan sepenuhnya penggunaan semula nama Kampung Kerinchi.
"Penggunaan sekarang dalam poskod disebut Kerinchi, tapi saya nak tegaskan nama 'Kampung Kerinchi" mesti dikekal. Bukan nak rasa malu, tapi kita mahu kekalkan sejarah asal usul tempat ini walaupun kawasan ini telah dibangunkan dengan banyak pejabat komersial seperti di Bangsar South, yang juga sebenarnya dalam kawasan Kampung Kerinchi,'' katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #atlet Israel #Kejohanan Renang Para Dunia #kerajaan malaysia #Kuching #Mahathir Mohamad #menyokong #Perdana Menteri #Presiden PKR #Sarawak
;