Anwar sifatkan poster cari Rewcastle Brown berbaur politik

Umavathi Ramayah
November 17, 2021 14:24 MYT
Anwar mengakui emosinya terganggu ekoran penyebaran poster itu. Katanya, Rewcastle Brown memberi sumbangan kepada negara dengan mendedahkan salah laku kuasa termasuk isu rasuah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan polis menyebarkan poster individu dikehendaki melibatkan editor 'Sarawak Report' Clare Rewcastle Brown, berikutan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya, pada September lalu disifatkan sebagai berbaur politik.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Rewcastle Brown mempunyai maruah dan wajar dihormati seperti individu-individu yang disabit dengan pertuduhan kes-kes lain melibatkan rakyat Malaysia.
"Lebih membimbangkan, tindakan drastik untuk mencari Rewcastle Brown tidak dilakukan ke atas mana-mana penjenayah lain termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Teak Jho atau Jho Low," katanya dalam perkongsian di Facebooknya di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui emosinya terganggu ekoran penyebaran poster tersebut.
Katanya, wanita warga Britain itu memberi sumbangan kepada negara dengan mendedahkan salah laku kuasa termasuk isu rasuah, pembalakan dan keperitan masyarakat Orang Asli.
Sumber Facebook anwaribrahimofficial
"Wartawan, individu yang mendedahkan maklumat atau aktivis tidak seharusnya dilabelkan sebagai penjenayah tanpa melalui ruang perbicaraan yang adil, terutamanya apabila mereka berjuang untuk keadilan yang kita semua juga mahukan di Malaysia hari ini," katanya lagi.
Baru-baru ini, wanita berusia 62 tahun itu disenaraikan sebagai individu dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu berikutan kegagalan beliau hadir untuk pertuduhan kes fitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, sebelum ini memberitahu, pertuduhan ke atas Rewcastle Brown dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah pada 21 November 2018 terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
#Clare Rewcastle-Brown #Sarawak Report #individu dikehendaki #Anwar Ibrahim
;