Anwar sifatkan Pakatan Nasional propaganda pembangkang
Shuhada Abdul Kadir
Februari 8, 2020 18:32 MYT
Februari 8, 2020 18:32 MYT
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, dakwaan terdapat beberapa Ahli Parlimen dari PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), menyokong pakatan baharu Pakatan Nasional yang digerakan pembangkang, sebagai tidak berasas.
Menurut Anwar, ini adalah kerana kerjasama Pakatan Nasional tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan peribadi beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bahkan, perbincangan isu berkenaan juga, kata Anwar tidak pernah diutarakan dalam mana-mana mesyuarat Pakatan Harapan (PH) atau dibincangkan oleh mana-mana pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tidak ketinggalan, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, isu Pakatan Nasional juga tidak pernah diakui oleh mana-mana pemimpin PH.
Sehubungan, Anwar menegaskan, perkara itu merupakan strategi propaganda yang sengaja dijaja pembangkang untuk meyakinkan rakyat.
"Itu perkiraan daripada usaha beberapa tokoh pembangkang...dia kata enam daripada Amanah dan apabila kita periksa, tak betul.
"Jadi ada usaha penipuan dalam langkah perang psikologi mereka. Ada 15 daripada PKR, tak betul dan saya periksa sendiri... yang pastinya jumlah itu terlalu ekstrim dan berlebih-lebih, tidak benar.
"Jadi perkiraan itu meleset dan mereka (pembangkang) kaitkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), kaitkan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir dan ini tidak baik," katanya.
Anwar berkata demikian kepada wartawan selepas meghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pro Reformis 98 di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Desas-desus mengenai penubuhan kerajaan baharu tercetus baru-baru ini selepas Ahli Majls Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendedahkan rakaman audio yang kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan parti berkenaan mengikut jejak langkah Pas menyokong Dr Mahathir.
Cadangan untuk bersetuju bersama-sama bekerjasama dengan Dr Mahathir dilihat dapat menyelamatkan UMNO.
Susulan pendedahan itu, Lokman mendakwa beliau telah dipecat dari parti berkenaan.
Menurut Anwar lagi, dakwaan berkenaan juga menyebut 18 ahli Parlimen GPS turut sama menyokong pakatan baharu.
Anwar dalam masa sama turut mempersoalkan mengenai keperluan menubuhkan pakatan berkenaan memandangkan pembangkang khususnya UMNO telah pun diberikan mandat selama 62 tahun mentadbir negara.
"Saya tiada halangan... tetapi masalah dia, untuk apa? Dia (pembangkang) kata untuk menyelamatkan Melayu.
"Dia dah diberikan mandat selama 62 tahun dan keduanya dia ditaja oleh beberapa orang yang (sedang) menghadapi kes-kes serius di mahkamah soal rasuah.
"Jadi patut dia hadapi itu dahululah. Janganlah anggap dia nampak baik, hal ini ditutup dan diselesaikan," tegas Anwar lagi.