Anwar seru penganut agama Hindu kekal tabah, tingkat kewaspadaan
Faris Danial Razi
November 13, 2020 20:19 MYT
November 13, 2020 20:19 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua penganut agama Hindu yang bakal meraikan sambutan Deepavali esok agar kekal tabah dan kuat.
Beliau dalam masa sama mengingatkan mereka yang akan meraikan perayaan tersebut meningkatkan kewaspadaan agar seluruh rakyat dapat bebas daripada krisis COVID-19.
“Atas semangat Deepavali juga, kita rakyat Malaysia harus insaf dan segera menghidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian di Malaysia.
“Perayaan Deepavali pada tahun ini masih dalam suasana wabak dan ini semestinya mengesankan aktiviti perayaan.
“Saya gesa penganut-penganut Hindu untuk terus tabah dan kuat, serta tingkatkan kewaspadaan agar sama-sama kita keluar dari wabak ini dengan jayanya,” jelasnya.
Beliau menzahirkan ucapan tersebut menerusi laman Facebook rasminya pada Jumaat.
Jelasnya lagi, perayaan Deepavali atau Diwali merupakan salah satu bentuk perayaan terbesar yang diraikan oleh penganut Hindu seantero dunia.
“Perayaan ini juga dimaknai dengan memasang lampu-lampu dan cahaya yang menerangi jalanan dan rumah-rumah.
“Makna besar dari perayaan ini adalah kemenangan cahaya atas kegelapan, benar atas batil, dan juga keadilan atas kebobrokan.
“Mewakili keluarga majmuk Keadilan saya ucapkan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
#Anwar Ibrahim
#Facebook
#Parlimen
#Deepavali
#pembangkang
#keluarga
#Malaysia
#COVID-19
#rakyat Malaysia
#kewaspadaan