Anwar serah kepada pihak polis siasat penulis buku

Bernama
Jun 19, 2019 06:34 MYT
Anwar turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum. - Gambar fail/BERNAMA
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat ugutan yang diterima beliau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis sebuah manuskrip buku bertajuk 'Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM'.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengesahkan beliau menerima ugutan dan diminta membayar RM400,000 jika enggan buku itu diterbitkan dan didedahkan kepada umum.
"Saya bagi polis habis siasat, sebab dia (penulis) ugut kalau tak bayar RM400,000, dia 'publish' (terbitkan buku itu)," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Jamuan Malam Hari Raya anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC), di sini, Rabu malam.
Anwar berkata satu laporan polis telah dibuat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah, Datuk Johari Abdul terhadap penulis berkenaan, yang dipercayai dibayar dan diupah untuk menghasilkan buku itu.
"Orang yang jadi penulis picisan ini dibayar, diupah dan (sudah tiba) masa untuk (penulis) diketahui oleh umum, disiasat dan diambil tindakan yang wajar," katanya.
BACA: Johari Abdul terima manuskrip 'Mengapa Anwar tidak boleh jadi PM'
Johari, yang juga, Ahli Parlimen Sungai Petani, berkata satu laporan polis telah dibuat hari ini terhadap penulis manuskrip buku tersebut kerana mengandungi fitnah dan tohmahan terhadap Anwar.
Bercakap dalam sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik PKR, katanya, beliau menerima manuskrip buku yang ditulis oleh Yahaya Ismail pada 10 Jun lepas dan berpendapat tindakan itu amat tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip kebebasan memberi pandangan.
-- BERNAMA
#Ahli Parlimen Port Dickson #Anwar Ibrahim #Johari Abdul #manuskrip buku #Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM #penulis buku #Presiden PKR #siasatan #ugutan
;