Anwar selangkah bakal Perdana Menteri kelapan
Bernama
Oktober 13, 2018 06:54 MYT
Oktober 13, 2018 06:54 MYT
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini selangkah bakal Perdana Menteri kelapan selepas menang bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada Sabtu.
Anwar memperoleh 31,016 undi, menewaskan calon PAS. Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon bebas; bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan (82 undi), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230 undi), Lau Seck Yan (214 undi), personaliti media sosial Stevie Chan (337 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).
Sejarah menyaksikan pada dua puluh tahun lepas, figura penting politik ini dipecat daripada kerajaan, dipenjara atas tuduhan liwat sebelum bermulalah laungan reformasi yang akhirnya membentuk penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004 dan disekat daripada terlibat politik selama lima tahun, Anwar kembali ke pentas politik dengan menjadi calon PRK Permatang Pauh pada 2008.
Beliau yang memenangi PRK itu kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, namun terpaksa kembali ke penjara semula pada 2015 atas tuduhan liwat sebelum mendapat pengampunan diraja pada 16 Mei lepas.
Anwar dikenali sebagai penggerak utama agenda reformasi yang akhirnya membawa satu perubahan dalam landskap politik negara melalui perjuangan yang penuh liku.
Dilahirkan pada 10 Okt, 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tok Kun dan Sekolah Stowell.
Beliau menyambung ke pengajian menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar dari 1960 hingga 1966 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Melayu (Sastera) di Universiti Malaya dari 1967 hingga 1971.
Anwar, yang menerajui Yayasan Anda dan pertubuhan bukan kerajaan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), mula terlibat dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bertanding dalam Pilihan Raya Umum keenam pada tahun yang sama.
Beliau bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan menang dan seterusnya mempertahankan kerusi itu dalam beberapa lagi pilihan raya umum.
Bintang Anwar cerah dan langkahnya pantas dalam politik apabila dilantik ke pelbagai jawatan dalam kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
Beliau bermula sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1982, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pertanian (1984), Menteri Pendidikan (1986) dan Menteri Kewangan (1991).
Beliau yang dianggap sebagai 'anak didik' Mahathir kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada 1998.
Kini, selaku wakil rakyat kawasan Port Dickson yang terkenal sebagai destinasi pelancongan dan percutian popular, Anwar meneruskan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan sebelum ini.
Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Port Dickson pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#bakal perdana menteri
#Parlimen
#pecat
#Pengampunan Diraja
#Perdana Menteri kelapan
#pilihan raya kecil
#PKR
#politik
#PRK Port Dickson
#reformasi
#tuduhan liwat