Anwar sarankan catuan air dihentikan

Astro Awani
April 30, 2014 09:24 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar catuan air di Selangor yang sedang dilaksanakan dihentikan dahulu ekoran peningkatan jumlah takungan air di Empangan Sungai Selangor dan lain-lain empangan.
Anwar berkata dalam tempoh seminggu jumlah takungan air di Empangan Sungai Selangor telah meningkat dari 38.97% (89.63 juta meter padu air) kepada 40.23% (92.53 juta meter padu air).
"Walaupun jumlah ini belum mencecah paras 42% takungan seperti yang diumumkan sebelum ini, saya menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau juga menyeru penduduk di Lembah Klang supaya menggunakan air secara berhemah bagi membantu kerajaan Selangor dan pihak pihak yang bertanggungjawab membuat unjuran semula menggunakan kadar penggunaan air yang lebih rendah bagi mengelakkan catuan yang berpanjangan di masa hadapan.
Penduduk di Lembah Klang terutama di Selangor berdepan krisis air ekoran bekalan air mentah di empangan-empangan sekitar Lembah Klang yang semakin susut akibat cuaca panas sejak dua bulan lalu.
Biarpun hujan mula turun sejak awal bulan lalu, namun hujan di kawasan hilir ini tidak dapat membantu mengatasi masalah kekurangan air di empangan.
Kerajaan Selangor dijangka akan membuat pengumuman khas mengenai catuan air ini dalam satu sidang media yang dijadualkan hari ini.
#Anwar Ibrahim #catuan air #lambah klang
;