Anwar saran rakyat daftar program vaksinasi
Kenyataan Media
Mac 15, 2021 21:02 MYT
Mac 15, 2021 21:02 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru orang ramai supaya mendaftar dalam program vaksinasi sebagai komitmen untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dari jumlah populasi.
Katanya dengan bermulanya langkah vaksinasi, ia secara tidak langsung memberi harapan kepada semua yang mahu segera pulih dari wabak ini.
Bagaimanapun, beliau percaya ia sepatutnya diurus dengan lebih baik dan cekap.
Tegasnya, isu-isu penting mengenai hal vaksin perlu segera didepani termasuk hal-hal lain yang melibatkan proses pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.
“Menteri bertanggungjawab iaitu YB Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa terdapat seramai 1.4 juta warga yang meandaftar melalui aplikasi MySejahtera tidak mendaftarnya dengan lengkap.
“Kita juga membaca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran mereka itu disahkan di dalam sistem. Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.
Pada masa sama Presiden PKR itu menegaskan, Malaysia mempunyai pengalaman dalam membangunkan penawar dan mempunyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin.
Justeru Anwar mempersoalkan mengapa universiti-universiti tempatan serta badan-badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin sendiri.
“Kerajaan pernah menyatakan sebelum ini bahawa pengeluar-pengeluar vaksin perlu berkongsi pengetahuan terkait pembuatan vaksin, sekiranya pengeluar-pengeluar vaksin ini mahu bekerjasama dengan Malaysia.
“Justeru, penting untuk rakyat dan negara tahu berapa cepatkah fasiliti pengeluaran vaksin ini akan dibangunkan.
“Mengapakah universiti-universiti tempatan serta badan-badan penyelidikan tidak berada di barisan depan dalam mengkaji serta membangunkan vaksin? Kita punyai pengalaman dalam membangun penawar bagi virus Nipah sebelum ini, dan ia membuktikan kita punyai keupayaan bagi mengkaji, menyelidik dan membangunkan vaksin,” tambahnya.
#Anwar Ibrahim
#program vaksinasi
#PICK
#Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19
#MySejahtera
#Khairy Jamaluddin
#COVID-19