Anwar sambut baik jaminan Muhammad Yunus, sedia bantu Bangladesh

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 14, 2024 04:05 MYT
Anwar membuat panggilan telefon kepada Muhammad Yunus malam tadi bagi mengucapkan tahniah dan bertanya khabar susulan pelantikan beliau sebagai penasihat kerajaan sementara Bangladesh. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik jaminan yang diberi ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh, Prof Muhammad Yunus, untuk melindungi dan memberi layanan saksama kepada semua warganya termasuk golongan minoriti.
Perkara itu menjadi antara topik yang dibincangkan kedua-dua pemimpin menerusi panggilan telefon pada Selasa malam.
"Muhammad Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia.
"Justeru, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu.
"Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti," kata Anwar menerusi perkongsian akaun di media sosial beliau.
Anwar dalam perbualan itu turut mengucapkan tahniah dan bertanya khabar kepada ahli ekonomi itu susulan pelantikan beliau sebagai perdana menteri sementara Bangladesh.
Menurut Anwar, Muhammad Yunus turut menjemput beliau melakukan lawatan pendek ke Bangladesh dalam masa yang terdekat bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara.
Muhammad Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sementara pada 8 Ogos lalu bagi mengetuai kerajaan peralihan negara itu.
Ia berlaku selepas protes berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami Perdana Menteri Sheikh Hasina.
#Anwar Ibrahim #Bangladesh #Muhammad Yunus #golongan minoriti