Anwar saman Pesuruhjaya Pas Perak berhubung ucapan berbaur fitnah

Bernama
Disember 5, 2022 23:16 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan beliau membawa budaya songsang LGBT serta menyokong ideologi komunis. - Gambar fail/Pejabat PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria berhubung ucapan yang didakwa mengaitkan beliau membawa budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta menyokong ideologi komunis.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar selaku plaintif mendakwa pada 6 Nov lepas, defendan berucap mengenai perkara itu pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 di pasar malam Tebuk Pancur, dan ucapan berkenaan disiarkan secara langsung melalui klip video di akaun Facebook defendan yang mendapat tontonan melebihi 94,400 kali, melebihi 5,100 reaksi, 429 kali perkongsian dan melebihi 2,600 komen sehingga hari ini.
Dakwa Presiden PKR itu, siaran video langsung Facebook tersebut kemudian diterbitkan menerusi artikel bertarikh 6 Nov, dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di dalam sebuah portal berita.
Ahli Parlimen Tambun itu mendakwa kata-kata fitnah itu dan penerbitan artikel berkenaan antara lain membawa maksud beliau adalah seorang penipu, mengamalkan dan menyokong ideologi komunis serta menggalakkan perkahwinan sejenis.
Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu dibuat untuk menjatuhkan reputasinya dan dakwaan dalam artikel berkenaan adalah tidak benar kerana plaintif sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai teras Islam dan mengecam semua dakwaan agenda LGBT selain memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus.
Anwar mendakwa kata-kata fitnah oleh defendan dibuat bertujuan untuk mencemarkan nama baik plaintif dengan menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian terhadapnya dan parti semasa tempoh berkempen untuk PRU15 bulan lepas.
Menurut plaintif, defendan telah melanggar Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi kesalahan menimbulkan permusuhan semasa kempen pilihan raya selain mendakwa defendan gagal mengemukakan permohonan maaf kepada plaintif berhubung tindakannya itu.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan serta memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada terus mengungkapkan atau menyebabkan penerbitan artikel memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai.
Peguam Datuk SN Nair ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Anwar Ibrahim #fail saman #Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria #ucapan berbaur fitnah
;