Anwar PM10: Datuk Bandar yakin lantikan bawa limpahan pembangunan, ekonomi
Aida Aziz
Disember 1, 2022 08:40 MYT
Disember 1, 2022 08:40 MYT
IPOH: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 diharapkan bukan sahaja memberi limpahan pembangunan kepada bandar raya Ipoh, tetapi juga di seluruh Perak.
Harapan itu disuarakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, yang optimis banyak perancangan bakal dirangka demi kemajuan di bandar raya itu.
"Ia satu sejarah buat negeri Perak dan bandar raya Ipoh khususnya. Pada pendapat saya, pelantikan itu sudah tentu beri impak kepada semua.
"Mengambil contoh, sebelum ini Perdana Menteri dari Pahang, jadi sudah tentu ada impak di sana. Selain itu, sebelum ini di Perak juga ada Timbalan Perdana Menteri dari Bagan Datuk, dan ada impak di sana.
"Sama juga Perdana Menteri dari Johor serta Kedah. Saya mengharapkan impak yang datang ke bandar raya Ipoh bukan sekadar di sini, tetapi meluas ke seluruh Perak," katanya.
Rumaizi berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan November di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, semalam.
Katanya, Ipoh kini mengecapi satu lagi status baharu apabila boleh digelar sebagai 'Bandaraya Perdana Menteri' berikutan pelantikan Anwar sebagai pemimpin nombor satu negara.
Ini kerana, beliau merupakan Ahli Parlimen Tambun iaitu kerusi Parlimen yang berada di dalam jajaran bandar raya Ipoh.
Ia juga mencatatkan sejarah tersendiri kerana belum ada mana-mana Perdana Menteri negara yang mewakili kawasan di dalam bandar raya ini.
Sementara itu, Rumaizi berkata, Perak boleh mengorak langkah lebih besar setelah pelantikan tersebut, dengan lebih banyak pelaburan masuk ke negeri ini.
"Sepatutnya Perak boleh jadi lebih besar. Sebagai contoh, apabila Perdana Menteri dari Kedah, antara pelaburan terbesar negara kita datang dari situ.
"Kita harap juga kesan sama di Perak di mana ia akan jadi kawasan pelaburan yang tertinggi di Malaysia. Sebab, Perdana Menteri bukan saja dari Tambun, Ipoh, tetapi juga boleh bantu keseluruhan Perak," tambahnya.