Anwar: Pertembungan sebenar di Kajang antara PR dan BN, bukan Zaid
T K Letchumy Tamboo
Februari 18, 2014 15:22 MYT
Februari 18, 2014 15:22 MYT
Pertembungan sebenar dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac nanti adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Itu pandangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila ditanya tentang cabaran yang diajukan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim serta calon-calon bebas yang lain kepada beliau untuk memenangi kerusi DUN Kajang.
Anwar berkata apa sahaja isu yang akan dimainkan oleh calon BN nanti, isu itulah yang akan menjadi penentu kemenangan.
“Saya tidak memandang rendah kepada sesiapa.
“Walaubagaimanapun, kita harus realistik untuk mengakui hakikat bahawa apabila mereka (BN) mengumumkan calon, satu kempen besar-besaran akan diadakan,” kata beliau semasa satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Pada Ahad, Zaid mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Kajang.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan membela prinsip politik sihat, mempertahankan dan menghormati mandat rakyat Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Dalam satu wawancara dengan The Malay Mail Online, Zaid berkata beliau adalah calon yang lebih kredibel berbanding Anwar dan beliau tidak boleh melihat Anwar sebagai pemimpin di negara ini, atau sebagai Menteri Besar.
Pada tahun 2009, berikutan pemecatannya daripada UMNO, Zaid telah menyertai PKR dan bertanding di Hulu Selangor pada pilihan raya pada 2010.
Dia bagaimanapun ditewaskan oleh calon BN, P. Kamalanathan dari MIC.
Zaid keluar dari PKR selepas pilihan raya parti itu pada 2010.
Dia kemudian mengasaskan sebuah parti kecil bernama Parti Kesejahteraan Insan Malaysia pada tahun 2010 dan dua tahun kemudian, beliau meninggalkan pula parti itu.
Pada Feb 18, PKR menamakan Anwar sebagai calon DUN Kajang selepas bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh, meletakkan jawatannya.