Anwar pertahan tindakan PKR pecat dua ahli, namun ruang rayuan perlu ada
Firdaus Azil
November 26, 2019 13:09 MYT
November 26, 2019 13:09 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tindakan pemecatan ke atas dua ahli parti berhubung penyelewengan adalah tepat, namun ruang untuk mereka buat rayuan harus diberikan.
Beliau berkata, soal ‘kekhilafan’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghantar surat itu kepada parti politik sekadar isu teknikal, namun kandungannya langsung tidak menafikan wujud salah laku yang serius oleh dua.
“Itu Lembaga Displin rujuk pada surat, dia (SPRM) kata silap hantar, tapi kandungan tak pertikai, jadi ia adalah isu yang serius. Kita mesti tegas banteras rasuah. Salah teknikal atau tidak itu soal lain
“Dia (ahli yang dipecat) boleh membuat rayuan. Tapi kandungan surat itu serius. (Walaupun) tidak bawa pada pendakwaan, tapi peraku untuk kita ambil tindakan, dan kandungan surat tidak dipertikai,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini hari ini.
Dua hari lalu, Ketua Cabang PKR Bera Zakaria Abd Hamid dan Ahli Jawatankuasa Cabang Bera Ismail Dulhadi telah dipecat serta-merta berhubung dakwaan salah laku kuasa dan suapan sewaktu pemilihan parti itu tahun lepas.
Menurut Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim, salah laku kedua-dua ahli PKR itu diperakukan melalui surat yang diterima parti bertarikh 23 Oktober lalu, dan pemecatan itu dilakukan Majlis Pimpinan Pusat.
Namun, pemecatan itu menimbulkan tandanya ekoran kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki yang menegaskan bukan amalan SPRM untuk menghantar surat kepada parti politik, dan menganggap surat itu adalah ‘kekhilafan’ Ketua Cawangan Laporan SPRM.
Sehubungan tindakan pemecatan itu, wujud bantahan beberapa pemimpin kanan parti termasuk dua Naib Presidennya iaitu Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin yang menganggap itu merupakan tindakan ‘selective’ MPP.
BACA: Dua ahli PKR Pahang dipecat, dipercayai terlibat rasuah