Anwar minta seluruh negara Arab tegas dalam isu Palestin

Afiezy Azaman
April 30, 2024 09:10 MYT
Anwar berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu PM Arab Saudi sebelum berangkat pulang ke tanah air. - Foto Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan hal ehwal umat Islam, termasuk konflik Palestin-Israel.
Anwar berkata, seluruh negara Arab dan negara-negara Islam, khususnya Arab Saudi, perlu senada dan tegas dalam menuntut keadilan buat rakyat Palestin.
Ini dengan memastikan Israel diheret ke muka pengadilan atas segala jenayah dan kezaliman di luar batas kemanusiaan yang dilakukan terhadap Palestin sejak puluhan tahun.
"Di samping terus memperjuangkan hak perlindungan dan akses bantuan kemanusiaan, semua pihak juga perlu menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan dan pendudukan haram Israel di tanah Palestin, yang menjadi punca utama konflik ini berpanjangan," katanya menerusi media sosial hari ini.
Anwar berkata demikian dalam kunjungannya ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, pada Isnin.
Kunjungan itu menutup lawatan beliau ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) sebelum Anwar berangkat pulang ke tanah air, pada Selasa.
Selain itu, Anwar berkata, beliau dan Mohammed menyentuh soal hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi serta isu-isu serantau.
"Perbincangan kami turut menyentuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.
"Saya maklumkan kesediaan Malaysia untuk bersama-sama dalam Visi 2030 Arab Saudi dengan meneroka ruang kerjasama baharu, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.
"Saya juga mengalu-alukan kehadiran pelabur-pelabur dari Arab Saudi ke Malaysia untuk meneroka potensi pelaburan dalam projek bernilai tinggi seperti ekonomi digital dan hijau, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, pertahanan, elektrik dan elektronik serta aeroangkasa," katanya.
Anwar menambah, beliau turut memaklumkan kepada Mohammed bahawa Malaysia sudah bersedia untuk mempengerusikan ASEAN tahun depan, termasuk menganjurkan Sidang ASEAN-GCC-China.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi yang memperuntukkan 31,600 kuota haji untuk Malaysia tahun ini.
"Di akhir pertemuan, saya mengulangi jemputan buat Putera Mahkota untuk melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia sesegera mungkin.
"Saya percaya lawatan kali ini telah memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Arab Saudi, di samping membuka pelbagai potensi pelaburan yang bakal menyumbang kepada kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhannya, Insya-Allah," ujarnya.

Alhamdulillah, saya sempat berkunjung ke Istana Yamamah di Riyadh untuk bertemu Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud sebelum berangkat pulang ke tanah air. Kunjungan ini menutup lawatan saya ke Riyadh bagi menghadiri Mesyuarat pic.twitter.com/eUccwsMpLd

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) April 30, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Anwar Ibrahim #Arab Saudi #Palestin #negara arab
;