Anwar menang saman fitnah terhadap Utusan

Astro Awani
Januari 21, 2013 13:02 MYT
Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam saman fitnahnya terhadap syarikat penerbit Utusan Malaysia, Utusan Melayu (M) Berhad dan ketua pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak berhubung wawancara beliau dengan BBC mengenai undang-undang menyentuh soal homoseksual.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk VT Singham memutuskan dua artikel yang diterbitkan oleh akhbar berkenaan mengandungi unsur-unsur fitnah. Ia juga bertujuan memburuk-burukkan reputasi Anwar dengan membayangkan ketua pembangkang itu tidak layak jadi pemimpin.
Sigham juga mendapati pihak defendan telah gagal membuktikan pembelaan justifikasi kerana tidak mengemukakan bukti bahawa mereka tidak bertujuan memfitnah Anwar serta telah juga gagal dalam menjalankan tanggungjawab profesional sebagai wartawan.
Hakim itu juga menarik perhatian bahawa Anwar tidak menyatakan beliau memperjuangkan hak golongan gay dan lesbian dalam wawancaranya dengan BBC.
Menurut Sigham, defendan sekurang-kurangnya boleh memohon maaf atau mendapatkan penjelasan berhubung artikel yang disiarkan tetapi sebaliknya memilih untuk tidak menghiraukan tuntutan maaf yang dihantar oleh Anwar.
Anwar pada 20 Januari 2012, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi RM50 juta berhubung dua artikel yang diterbitkan pada muka depan dan halaman 10 akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Januari 2012.
Laporan muka depan itu bertajuk "Tolak Anwar -- Hasan" memetik kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Singham menetapkan tarikh 15 Februari ini untuk mengumumkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh Utusan Melayu Bhd dan ketua pengarangnya kepada Anwar.
#Datuk Abdul Aziz Ishak #Datuk Seri Anwar Ibrahim #utusan malaysia #VT Singham
;