Anwar mahu hakim tarik diri atas alasan wujud "bahaya berat sebelah"

Bernama
Ogos 17, 2015 13:41 MYT
Pihak pembelaan mengemukakan permohonan supaya hakim menarik diri atas alasan wujud "bahaya berat sebelah" sekiranya Hakim Datuk Asmabi Mohamad mendengar permohonan Anwar (gambar) bagi semakan kehakiman. -Gambar fail
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Hakim Mahkamah Tinggi menarik diri daripada mendengar permohonannya supaya diberikan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga
Pengampunan yang menolak petisyennya bagi sabitan meliwat.
Peguam mewakili Anwar, Latheefa Koya, memberitahu pemberita pihak pembelaan mengemukakan permohonan supaya hakim menarik diri atas alasan wujud "bahaya berat sebelah" sekiranya Hakim Datuk Asmabi Mohamad mendengar permohonan Anwar bagi semakan kehakiman.
"Kami mendapati Datuk Asmabi ialah peguam kanan persekutuan yang mewakili kerajaan dalam saman difailkan oleh Datuk Seri Anwar terhadap Perdana Menteri berhubung pemecatannya daripada Kabinet pada 1998. Jika beliau mendengar permohonan itu, wujud bahaya berat sebelah," katanya selepas berjumpa dengan hakim di dalam kamar.
Latheefa berkata Asmabi menetapkan 1 Sept untuk mendengar permohonan bagi hakim menarik diri.
Pendengaran permohonan bagi kebenaran itu yang sebelum ini dijadual hari ini telah ditangguh ke tarikh yang akan ditetapkan.
Pada 24 Jun, Anwar, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anaknya Nurul Izzah dan Nurul Nuha memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk membatalkan keputusan lembaga itu pada 16 Mac serta mempersembahkan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar.
Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.
Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar, 67, mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan hak asasi dan oleh itu, adalah tidak sah.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
#Anwar Ibrahim #hakim #lembaga pengampunan #Mahkamah Tinggi #menarik diri #Penasihat PKR #semakan kehakiman
;