Anwar luang masa belajar pemerkasaan seni budaya daripada selebriti Indonesia, Malaysia
Firdaus Azil
September 4, 2023 23:50 MYT
September 4, 2023 23:50 MYT
JAKARTA: Dalam meniti jadual yang padat sepanjang perjalanan Persidangan Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata tidak melupakan tentang peri penting pemerkasaan aspek lain yang berkaitan.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pempengaruh dan selebriti dari Indonesia dan Malaysia, Anwar turut menekankan tentang kepentingan pemerkasaan seni budaya.
Anwar berkata, susulan pertemuan tersebut yang berlangsung sekitar 30 minit itu, beliau mengambil kesempatan memanfaatkan pengalaman dan cadangan dari kumpulan berkenaan, termasuk belajar tentang erti pemerkasaan seni budaya.
“Seperti kita tahu dalam negara Madani ini, pemerkasaan ekonomi budaya seni selain daripada berbicara soal kerjasama dua hala, dan diplomatik dengan Presiden Jokowi, kita juga berbicara dengan pengusaha dan pelabur.
“Dan saya bertemu dengan seniman dan seniwati terkemuka Indonesia, berkesempatan bersama. Saya memanfaatkan pengalaman mereka. (Mendengar) cadangan, bukan saja hubungan dua hala malah (mereka) mengajar saya erti pemerkasaan seni budaya,” katanya lagi.
Antara selebriti dan pempengaruh Indonesia yang menyerikan sesi tersebut ialah Mulan Jameela; Raffi Ahmad dan isterinya Nagita Slavina; Kartika Putri; Habib Usman dan isterinya Selvi Kitty; Melly Goeslow; selain selebriti dan pempengaruh dari Malaysia iaitu Nur Fazura dan Iman Tang.
Mulan Jameela, yang pernah popular dengan kumpulan Ratu, bertanyakan kepada Anwar tentang sokongan kerajaan terhadap aktiviti seniman di Malaysia.
“Tentunya hal pertama kita tanyakan itu, sejauh apa (sokongan) pemerintah Malaysia terhadap seniman yang ada di Malaysia, bentuk dukungan itu juga dalam bentuk perundangan.
“Selain itu saya dan teman-teman dari Indonesia sewaktu bertemu dengan Bapak Anwar, meminta untuk menjaga hubungan baik, kerjasama antara Indonesia dan Malaysia tidak hanya sebagai keluarga serumpun semata-mata,” katanya lagi.
Perkara tersebut turut disuarakan artis-artis Indonesia lain yang turut serta dalam sesi tersebut, antaranya Melly Goeslow, Selvi Kitty, Habib Usman dan isterinya Kartika Putri.
Sementara itu, selebriti dan usahawan terkenal tanah air, Nur Fazura Osman, atau lebih dikenali sebagai Fazura turut menzahirkan keterujaannya bertemu dengan Anwar serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Saya diberi kesempatan, pertama kali bertemu dengan Perdana Menteri dan juga isterinya yang hadir hari ini. Pertemuan ini sangat berinformasi, menginspirasi dan bukan calang-calang sebab Malaysia dan Indonesia sangat rapat.
“Jadi perjumpaan hari ini dapat merapatkan lagi silaturahim. Faz sendiri tak mahu ke depan sangat, tetapi mahu beri kesempatan untuk artis Indonesia tanyakan soalan. Soalan mereka lebih ke arah pengalaman dan rencana Datuk Seri Anwar untuk Malaysia dan Indonesia. Semoga semakin erat dari segi perniagaan, ekonomi sama-sama kita bangunkan,” katanya lagi.
Anwar bakal menyertai pemimpin-pemimpin serantau lain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 yang berlangsung di Jakarta antara 5 hingga 7 September ini.